PENAMPANG: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, YB Datuk Ceasar Mandela Malakun hari ini menghadiri dan merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Murid (MAKEM) SMK Datuk Peter Mojuntin bagi Sesi Akademik 2025 yang berlangsung di Dewan Harmoni, SMK Datuk Peter Mojuntin.
Majlis tersebut diadakan bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang para pelajar dalam bidang akademik serta menghargai usaha berterusan guru-guru dan ibu bapa dalam memastikan kejayaan anak-anak.
Dalam ucapannya, YB Datuk Ceasar Mandela Malakun merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh warga SMK Datuk Peter Mojuntin atas pencapaian memberangsangkan dalam peperiksaan SPM 2025.
Seramai 73 orang pelajar berjaya memperoleh keputusan 5A dan ke atas, manakala 17 orang pelajar mencatat keputusan Straight A.
Kerajaan Negeri Sabah terus komited dalam memperkasa akses pendidikan melalui pelbagai bentuk bantuan dan sokongan kepada pelajar.
Selain meneruskan pemberian biasiswa dan dermasiswa, kerajaan turut menyediakan 14 inisiatif bantuan pendidikan, antaranya Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (SUBFLY) serta Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA).
Sempena program tersebut, YB Datuk Ceasar Mandela Malakun turut menyampaikan insentif pendidikan kepada pelajar-pelajar yang cemerlang sebagai tanda penghargaan dan galakan untuk terus mencapai kecemerlangan pada masa hadapan.
Kini memasuki tahun ketiga pelaksanaannya, program penyampaian insentif pendidikan ini terus menjadi antara inisiatif utama dalam menghargai kecemerlangan pelajar di kawasan Penampang.
Selepas dilaksanakan di SMK Bahang, program yang sama akan diteruskan ke SMK Limbanak dan SM St. Michael dalam masa terdekat, sekali gus memastikan lebih ramai pelajar cemerlang menerima pengiktirafan atas usaha dan pencapaian mereka.
Menurut beliau, usaha ini mencerminkan komitmen berterusan untuk memastikan pelajar-pelajar di Penampang mendapat pengiktirafan sewajarnya atas pencapaian mereka, di samping menyuntik motivasi kepada generasi muda untuk terus mengejar kecemerlangan dalam pendidikan.
Beliau turut menggesa para pelajar yang layak untuk memanfaatkan peluang permohonan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) yang telah dibuka semula bermula 11 Jun 2026, selaras dengan usaha kerajaan memastikan faktor kewangan tidak menjadi penghalang kepada anak-anak Sabah untuk melanjutkan pelajaran.-pr/BNN





