SIPITANG : Sabah Electricity Sdn. Bhd. (Sabah Electricity) hari ini melakar satu lagi detik penting dalam pembangunan infrastruktur tenaga negeri menerusi peluncuran Projek Sabah Southern MADANI Link (SSML).
Majlis peluncuran projek tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim dan turut dihadiri bersama Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah.
Projek Sabah Southern MADANI Link merupakan inisiatif strategik yang bertujuan menyediakan laluan penghantaran baharu bagi menghubungkan Grid Utama Sabah dengan kawasan Ulu Padas serta memperkukuh dan melengkapkan sistem penghantaran elektrik negeri.
Pengerusi Sabah Electricity Datuk Saadiah Aziz berkata projek tersebut yang kini dalam 17% pembinaan merupakan antara komponen penting bagi memenuhi keperluan tenaga yang semakin meningkat selaras dengan pertumbuhan ekonomi negeri.
“Sabah Southern MADANI Link bukan sekadar projek penghantaran elektrik, tetapi merupakan pelaburan strategik yang akan memperkukuh keselamatan tenaga negeri, menyokong pembangunan sumber tenaga boleh diperbaharui dan membuka peluang pertumbuhan ekonomi yang lebih besar kepada Sabah pada masa hadapan,” katanya.
Projek Sabah Southern MADANI Link dilaksanakan dalam dua fasa utama. Fasa 1A melibatkan pembinaan talian penghantaran 275kV dari PMU Mengalong ke PMU Upper Padas dengan kos sebanyak RM198 juta.
Projek ini melibatkan pembinaan 162 menara penghantaran dan talian sepanjang 60 kilometer serta dijangka siap pada September 2028.
Sementara itu, Fasa 1B melibatkan pembinaan talian penghantaran dari PMU Upper Padas ke PMU Tawau dengan anggaran kos sebanyak RM1.4 bilion. Fasa ini akan melibatkan pembinaan kira-kira 890 menara penghantaran sepanjang 330 kilometer dan bakal melengkapkan rangkaian penghantaran strategik yang menghubungkan Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah.
Apabila siap sepenuhnya kelak, Sabah Southern MADANI Link akan menjadi tulang belakang kepada integrasi sumber tenaga boleh diperbaharui berskala besar di Sabah, khususnya pembangunan Tenom Hydro Hub yang merangkumi Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi, Telekosang, Upper Padas dan Oriole.
Melalui projek ini, tenaga bersih yang dijana dapat disalurkan dengan lebih cekap ke seluruh negeri, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, meningkatkan keselamatan tenaga serta menyokong aspirasi Malaysia ke arah pembangunan ekonomi rendah karbon.
Sabah Electricity turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah atas komitmen serta sokongan berterusan dalam merealisasikan projek strategik ini.
Dalam melaksanakan projek ini, Sabah Electricity sentiasa berpegang kepada prinsipbEnvironmental, Social and Governance (ESG) dengan memberi penekanan kepada aspek keselamatan, tadbir urus projek, pematuhan teknikal dan pemeliharaan alam sekitar.
Komitmen tersebut diterjemahkan melalui pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Jabatan Perhutanan Sabah yang dimeterai pada tahun 2022 bagi menyokong pelbagai inisiatif pemuliharaan dan pemeliharaan biodiversiti di kawasan Maliau Basin.
Beliau berkata, Sabah Electricity yakin bahawa kejayaan projek ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan sistem tenaga yang lebih moden, hijau, berdaya tahan dan saling berhubung, sekali gus memperkukuh daya saing ekonomi Sabah serta meningkatkan kesejahteraan rakyat untuk generasi akan datang.-pr/BNN





