KOTA KINABALU: Umat Islam di negeri ini diseru menghayati semangat Hijrah dengan melakukan muhasabah diri, memperbaiki kelemahan, meningkatkan ilmu pengetahuan, memperkukuhkan nilai moral serta mengeratkan hubungan sesama insan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berharap perhimpunan tersebut menjadi wadah untuk memperkukuhkan ukhuwah serta menyuntik semangat dan iltizam baharu dalam memperteguh perpaduan dan kesatuan ummah.
“Perayaan Ma’al Hijrah yang kita sambut setiap tahun bukan sekadar memperingati penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah, tetapi juga melambangkan perubahan, pengorbanan dan pembaharuan ke arah kehidupan yang lebih baik.
“Sebagai umat Islam, kita perlu mengambil iktibar daripada peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW, khususnya kejayaan baginda menyebarkan syiar Islam di samping menubuhkan kerajaan Islam pertama di Madinah.
“Baginda memberi penekanan terhadap kepimpinan yang menyeimbangkan kemajuan material dengan pembangunan insan,” katanya pada Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Negeri Sabah 2026M/1448H di sini, pada Rabu.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Selaras dengan tema Ma’al Hijrah tahun ini, ‘Madani Dihayati, Ummah Diberkati’, Hajiji berkata tema tersebut mencerminkan usaha kerajaan untuk menggalakkan rakyat hidup dalam suasana perpaduan dan saling menghormati.
“Konsep masyarakat Madani lahir daripada usaha mencontohi kejayaan Nabi Muhammad SAW dalam menyatukan golongan Ansar dan Muhajirin, hidup secara harmoni serta mencapai kecemerlangan menerusi ukhuwah Islamiah.
“Dengan menjadikan nilai-nilai Islam sebagai sumber inspirasi moral dan etika dalam pembinaan negara, saya yakin kita mampu menjadi contoh masyarakat Madani yang berteraskan ketamadunan, ilmu, integriti dan sifat pemurah,” katanya.
Beliau turut berharap tahun baharu Islam 1448H membawa harapan dan keberkatan kepada umat Islam meskipun dunia berdepan pelbagai cabaran dan ketidaktentuan ketika ini.
“Krisis di Timur Tengah, misalnya, yang melibatkan kuasa-kuasa besar dunia amat membimbangkan. Lebih menyedihkan, konflik tersebut turut melibatkan saudara seagama kita.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita berharap perjanjian damai antara Amerika Syarikat dan Iran yang dijangka ditandatangani pada Jumaat ini dapat membantu menamatkan pergolakan dan konflik di rantau itu demi keamanan dan keselamatan yang berkekalan,” katanya.
Turut hadir ialah isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Hajah Faridah Tussin; isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag; Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya; Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Haji Mohd Ariffin Mohd Arif yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Negeri.-pr/BNN





