KOTA KINABALU: Satu delegasi daripada Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd. (SEC) telah mengadakan kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Dr. Haji Musa bin Aman, bertempat di Istana Seri Kinabalu.

Delegasi SEC tersebut diketuai oleh Pengerusi SEC, YBhg. Datuk Annuar Ayub, dengan diiringi oleh Timbalan Pengerusi YBhg Datuk Hassan A Gani Pg Amir, ahli lembaga pengarah merangkap Pengerusi Asian Supply Base (ASB), YB Datuk Indera Dr. Haji Suhaili Abdul Rahman, ahli-ahli Lembaga Pengarah serta barisan pengurusan tertinggi syarikat, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Ir. Ts. Adzmir Abd Rahman.

Tujuan utama kunjungan tersebut adalah untuk memperkenalkan barisan kepimpinan SEC serta membentangkan agenda strategik SEC kepada Tuan Yang Terutama.

Dalam taklimat yang disampaikan, Datuk Ir. Ts. Adzmir menggariskan peranan penting serta inisiatif berterusan SEC dalam memacu sektor tenaga, menggalakkan pertumbuhan industri yang mampan, dan menerajui pembangunan sosioekonomi Sabah secara menyeluruh di bawah kerangka Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

Beliau turut berkongsi rekod prestasi kecemerlangan SEC dari segi daya maju komersial dan tadbir urus korporat yang mantap, sambil menegaskan bahawa Kumpulan Syarikat SEC secara konsisten berjaya mencatatkan keuntungan tahunan yang sihat serta memberikan pulangan dividen yang kukuh kepada Kerajaan Negeri Sabah.-pr/BNN