KENINGAU: Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor menyokong cadangan agar Kerajaan Persekutuan menilai semula had kuota subsidi diesel sebanyak 200 liter sebulan di bawah Program BUDI MADANI bagi Sabah, dengan mengambil kira realiti kehidupan rakyat di negeri ini.
Pengerusinya, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata semakan semula kuota berkenaan wajar dilakukan memandangkan keperluan penggunaan diesel di Sabah, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, jauh berbeza berbanding kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata, faktor geografi, jarak perjalanan yang panjang serta kebergantungan kepada kenderaan diesel untuk urusan harian menyebabkan penggunaan bahan api dalam kalangan penduduk Sabah lebih tinggi.
“Penduduk di kawasan pedalaman seperti Bingkor, Sook, Nabawan, Tenom dan daerah sekitarnya perlu menempuh perjalanan yang jauh untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan, pendidikan, urusan kerajaan serta menjalankan aktiviti ekonomi.
“Dalam keadaan ini, kuota subsidi diesel sebanyak 200 liter sebulan dilihat kurang mencukupi bagi sebahagian besar pengguna yang benar-benar memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, golongan petani, penternak, pekebun kecil, peniaga serta pengusaha pelancongan luar bandar antara yang paling terkesan sekiranya kos diesel meningkat kerana mereka bergantung kepada bahan api tersebut untuk mengangkut hasil pertanian, ternakan dan pelbagai keperluan operasi harian.
Katanya, peningkatan kos bahan api bukan sahaja menjejaskan pendapatan pengusaha, malah boleh memberi kesan rantaian kepada harga barangan dan kos sara hidup rakyat.
Sehubungan itu, beliau menyatakan sokongan terhadap usaha kerajaan membanteras ketirisan subsidi dan memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang layak, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira keunikan serta keperluan sebenar rakyat Sabah.
“Kami berharap Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan kuota subsidi diesel yang lebih sesuai atau memperkenalkan mekanisme khas bagi Sabah, khususnya untuk penduduk luar bandar, pengguna yang perlu melakukan perjalanan jauh serta sektor pertanian dan pelancongan yang menjadi antara pemacu utama ekonomi negeri.
“Dasar yang baik ialah dasar yang memahami realiti rakyat dan memberi manfaat secara adil kepada semua,” katanya.-pr/BNN




