SEMPORNA: Kerajaan Negeri sedang merancang pelbagai program sempena Tahun Melawat Sabah 2027 yang bakal menjadi pemangkin dalam memperkukuhkan jenama Sabah sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Beliau berkata, program Tahun Melawat Sabah 2027 bukan sahaja akan mengekalkan momentum positif yang dijana menerusi Tahun Melawat Malaysia 2026, malah memastikan pertumbuhan berterusan industri pelancongan yang mampan dan inklusif.

Sementara itu, beliau berkata, sejajar dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, Kerajaan Sabah telah dan akan terus memperhebat pelbagai inisiatif, program serta acara berimpak tinggi bagi menarik lebih ramai pelawat ke negeri ini.

“Ini termasuk program seperti Regatta Lepa Semporna, promosi pelancongan berasaskan komuniti serta memperkukuhkan kempen pemasaran digital bagi menarik lebih ramai pelancong antarabangsa,” katanya ketika merasmikan Regatta Lepa Semporna di sini malam ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Ketua Menteri berkata, dengan pelbagai program yang dirancang, Sabah berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran empat juta ketibaan pelawat sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, di samping meletakkan asas kukuh bagi Tahun Melawat Sabah 2027.

“Tahun lalu, Sabah mencatat prestasi yang memberangsangkan dengan menerima 3.79 juta pelawat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Kerajaan Negeri akan terus menyokong usaha memperkukuhkan kedudukan Semporna sebagai destinasi pelancongan budaya dan maritim utama di rantau ini.

“Dalam dunia yang semakin moden dan mencabar, pemeliharaan warisan budaya bukan lagi satu pilihan, tetapi merupakan tanggungjawab bersama bagi memastikan identiti dan warisan kita tidak hilang ditelan zaman.

“Dalam konteks ini, Kerajaan Negeri terus mengutamakan pembangunan sektor pelancongan sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi Sabah, dengan kekayaan warisan budaya negeri menjadi tarikan utama kepada para pelawat,” katanya.

Beliau berkata, Regatta Lepa telah membuktikan bahawa acara berasaskan budaya mampu menjadi produk pelancongan berimpak tinggi.

“Setiap tahun, ribuan pelawat datang ke Semporna untuk menyaksikan keindahan perahu lepa, persembahan kebudayaan, pertandingan tradisional serta pelbagai aktiviti yang dianjurkan.

“Kehadiran pelawat ini memberi manfaat secara langsung kepada pengusaha hotel, pengendali bot pelancongan, peniaga kecil, usahawan kraftangan, pengusaha makanan dan minuman serta masyarakat setempat,” katanya.

Perahu lepa sejak sekian lama menjadi simbol kehidupan masyarakat Bajau di Semporna.

Selain berfungsi sebagai pengangkutan di laut, ia turut melambangkan kemahiran pertukangan, kreativiti dan kehalusan seni masyarakat tersebut.

“Keunikan inilah yang menjadikan Regatta Lepa begitu istimewa. Ia menampilkan keindahan budaya, adat resam dan nilai-nilai yang diwarisi turun-temurun. Warisan seperti ini perlu terus dipelihara kerana ia merupakan khazanah yang amat bernilai,” katanya.-pr/BNN