KOTA KINABALU: Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri (KM) Sabah, Datuk Azrul Ibrahim, menyifatkan tuduhan yang dilemparkan terhadap KM, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berhubung isu larangan kemasukan Pengarah Eksekutif Bersih, Asraf Sharafi Mohammad Azhar, sebagai keterlaluan dan tidak berasaskan fakta.

Beliau berkata, dakwaan yang dibuat Hamdin Nordin menerusi hantaran di media sosial bahawa Hajiji mengarahkan sekatan terhadap Asraf adalah tidak wajar, apatah lagi ketika Ketua Menteri sedang menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci.

“Tuduhan yang dilemparkan oleh saudara Hamdin agak keterlaluan.Ketua Menteri ketika ini sedang menunaikan ibadah umrah. Jika sekalipun ingin menjadi hero dalam isu ini, rendahkan sedikit laras bahasa dan hormatilah keadaan semasa,” katanya dalam dalam hantaran di media sosial.

Azrul berkata, sebarang keputusan berhubung pengeluaran Notis Amaran Sabah (NAS) dibuat oleh pihak berkuasa selepas mengambil kira pelbagai aspek, termasuk penilaian risiko, peruntukan undang-undang dan kepentingan keselamatan negeri.

Menurutnya, semua pihak perlu menghormati kuasa imigresen khas yang dimiliki Sabah seperti diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.

“Dalam menentukan sama ada seseorang individu dikenakan NAS, pihak berkuasa pastinya telah menjalankan penilaian risiko dan pertimbangan sewajarnya berdasarkan peruntukan undang-undang serta kepentingan keselamatan negeri.

“Kita perlu menghormati pihak berkuasa dan mengiktiraf hak serta kuasa imigresen Sabah yang termaktub di bawah Perlembagaan serta peruntukan undang-undang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, pada masa sama, beliau turut mengambil inisiatif menghubungi Asraf bagi mendapatkan maklumat lanjut, selain memahami keadaan keluarganya yang berada di Sabah.

“Apa pun, saya sedang berkomunikasi dengan individu terbabit kerana saya memahami isteri dan anak-anaknya berada di Sabah,” katanya.

Sementara itu, mantan Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Negeri Sabah, Datuk Jerry Ambuting Mohd Said, turut mengkritik kenyataan Hamdin yang disifatkannya sebagai melulu kerana terus menuding jari kepada Ketua Menteri tanpa mengetahui fakta sebenar.

Beliau berkata, hak Sabah mengawal kemasukan individu ke negeri ini merupakan kuasa khas yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dan pelaksanaannya berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa imigresen.

“Semua pihak perlu menghormati proses undang-undang dan tidak membuat tuduhan sewenang-wenangnya terhadap Ketua Menteri. Sebarang keputusan berkaitan NAS dibuat berdasarkan penilaian pihak berkuasa, bukannya atas sentimen politik atau kepentingan individu,” katanya.

Hamdin menerusi hantaran di Facebook mendakwa Asraf dihalang memasuki Sabah atas arahan Ketua Menteri, selain mengeluarkan kenyataan berbaur kesat terhadap Hajiji.

Asraf sebelum ini memaklumkan beliau dihalang memasuki Sabah sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) selepas dimaklumkan namanya disenaraikan di bawah NAS.

Beliau mendakwa tidak dibenarkan memasuki Sabah walaupun isterinya merupakan anak jati negeri itu dan dua anak mereka menetap di Kota Kinabalu.

Setakat ini, pihak berkuasa belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai sebab khusus Asraf dikenakan NAS. Bagaimanapun, Kerajaan Negeri menegaskan bahawa setiap tindakan berkaitan imigresen dilaksanakan mengikut lunas undang-undang serta mengambil kira aspek keselamatan dan kepentingan Sabah.-pr/BNN