KOTA KINABALU: Mantan Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Negeri Sabah, Datuk Jerry Ambuting Mohd Said, menyifatkan tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, mempertikaikan pelantikan Tan Sri Azam Baki sebagai Penasihat Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) sebagai kenyataan yang bersifat pramatang dan bermotif politik.
Beliau berkata, pelantikan Azam bukan dibuat secara sewenang-wenangnya, sebaliknya mengambil kira pengalaman luas beliau dalam memimpin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selain kepakaran dalam bidang penguatkuasaan serta pencegahan rasuah dan jenayah kewangan.
“Tan Sri Azam memiliki pengalaman yang amat bernilai dalam usaha memperkukuh integriti institusi serta memerangi jenayah kewangan negara. Kepakaran sedemikian wajar dimanfaatkan demi kepentingan negara.
“Justeru, tidak adil untuk terus mempertikaikan kelayakan beliau hanya bersandarkan kepada dakwaan yang masih melalui proses serta belum diputuskan oleh pihak berkuasa mengikut lunas undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jerry berkata, setiap individu berhak mendapat layanan yang adil selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan tidak seharusnya dihukum melalui persepsi atau tekanan politik.
Menurutnya, kenyataan Hamzah berhubung pelantikan Azam hanya berisiko menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi negara sekiranya tidak disertakan dengan bukti yang kukuh.
“Sebagai Ketua Pembangkang, beliau sememangnya mempunyai tanggungjawab melaksanakan fungsi semak dan imbang, namun ia perlu dilakukan secara bertanggungjawab, berasaskan fakta dan menghormati proses perundangan.
“Janganlah setiap pelantikan atau keputusan kerajaan dijadikan bahan polemik politik sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi yang sedang menjalankan amanah kepada negara,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman Azam dalam mengetuai pelbagai siasatan berprofil tinggi serta usaha memperkukuh tadbir urus dan integriti negara merupakan aset penting yang mampu menyumbang kepada peranan NFCC dalam membanteras jenayah kewangan.
Sehubungan itu, Jerry menggesa semua pihak menghormati keputusan kerajaan melantik Azam sebagai anggota Lembaga Penasihat NFCC dan memberi ruang kepada beliau melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
“Jika terdapat sebarang isu yang masih dalam siasatan, biarlah ia diselesaikan mengikut saluran undang-undang dan bukannya melalui perbicaraan di pentas politik atau media.
“Negara memerlukan tokoh berpengalaman untuk membantu memperkukuh sistem pencegahan rasuah dan jenayah kewangan. Kepentingan negara perlu mengatasi percaturan politik sempit,” katanya.-pr/BNN





