KOTA KINABALU: Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah, SAC Datuk Azmi Abdul Rahim, secara rasmi menyerahkan tugas kepada ACP Cyril Edward Nuing @ Hillary dalam Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua JSJ Kontinjen Sabah yang berlangsung di Auditorium Sayat-Sayat, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.
Majlis itu disaksikan Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Jauteh Dikun, bersempena persaraan wajib Azmi yang akan menamatkan perkhidmatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 13 Julai ini selepas hampir 40 tahun menabur bakti kepada pasukan.
Dalam ucapannya, Jauteh merakamkan penghargaan atas jasa, komitmen dan kepimpinan cemerlang Azmi sepanjang menerajui JSJ Sabah.
Beliau berkata, di bawah kepimpinan Azmi, jabatan itu mencatat pelbagai kejayaan dalam memperkukuhkan usaha pencegahan dan pembanterasan jenayah, meningkatkan kadar penyelesaian kes serta memperkukuhkan keyakinan masyarakat terhadap PDRM.
Pada majlis sama, Jauteh turut mengucapkan tahniah kepada Cyril yang diberikan kepercayaan memangku jawatan Ketua JSJ Sabah sehingga penyandang baharu dilantik.
Beliau menyatakan keyakinan bahawa pengalaman dan kredibiliti Cyril mampu meneruskan kecemerlangan jabatan, selain menyeru seluruh warga PDRM supaya terus memberikan sokongan dan komitmen tinggi dalam mendepani cabaran landskap jenayah yang semakin kompleks menerusi pendekatan yang strategik, profesional dan bersepadu.
“Amanah yang dipikul bukan sekadar jawatan, tetapi satu tanggungjawab besar dalam memastikan kedaulatan undang-undang terus terpelihara dan kepercayaan masyarakat terhadap PDRM sentiasa dipertingkatkan,” katanya.
Turut hadir Ketua Cawangan Khas Sabah, SAC Datuk Abd Rahman Ishak; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sabah, ACP Alhusin Halil; Komander Pasukan Gerakan Udara Sabah, ACP Ras Nazrin Shah Abdullah; selain ketua-ketua jabatan dan formasi, Ketua Polis Daerah, pegawai kanan dan pegawai rendah polis serta pegawai awam JSJ Sabah.-pr/BNN
Sumber Gambar:
Jurugambar: HEA Jabatan Pengurusan / D6 JSJ IPK Sabah





