KOTA KINABALU: Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) menjelaskan loji janakuasa berkapasiti 200 megawatt (MW) yang sedang dibangunkan di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) bukan bertujuan membekalkan tenaga elektrik kepada Grid Sabah, sebaliknya dibina khusus bagi memenuhi keperluan operasi kilang Esteel di kawasan perindustrian itu.

Penjelasan itu dibuat susulan laporan media bertajuk ‘Loji Janakuasa 200MW SOGIP Dijangka Siap Suku Ketiga 2027’ yang disiarkan semalam, bagi memperbetulkan beberapa maklumat yang disifatkan boleh mengelirukan orang ramai.

ECoS dalam kenyataan hari ini memaklumkan, loji berkenaan merupakan loji penjanaan sendiri (self-generation) yang dibangunkan untuk kegunaan kilang Esteel dan tidak akan menyalurkan bekalan elektrik kepada Grid Sabah.

Menurut suruhanjaya itu, orang ramai perlu memahami fungsi sebenar projek berkenaan agar tidak timbul salah tanggapan mengenai sumbangannya kepada sistem bekalan elektrik negeri.

Pada masa sama, ECoS memaklumkan sebuah loji janakuasa baharu berkapasiti 100MW berasaskan gas di Kimanis kini berada pada fasa akhir pembangunan dan dijangka mula menyalurkan bekalan elektrik kepada Grid Sabah pada Ogos tahun ini.

Selain itu, dua lagi loji janakuasa gas baharu di Kimanis dengan kapasiti keseluruhan 200MW yang telah diluluskan oleh Majlis Tenaga Sabah pada tahun ini dijadualkan mula beroperasi menjelang penghujung 2028.

ECoS berkata, pengoperasian semua loji janakuasa berkenaan bersama projek penjanaan lain akan terus memperkukuh kapasiti penjanaan Grid Sabah bagi menjamin bekalan elektrik yang lebih stabil dan mencukupi pada harga berpatutan untuk tahun-tahun akan datang.

“ECoS berharap penjelasan ini dapat memberikan gambaran yang tepat mengenai fungsi sebenar loji janakuasa tersebut,” menurut kenyataan itu.

Suruhanjaya itu turut menegaskan komitmennya untuk memastikan setiap maklumat berkaitan pembangunan sektor tenaga di Sabah disampaikan secara tepat, telus dan berfakta demi kepentingan semua pihak.-pr/BNN