BINGKOR: Sebilangan besar Ahli Jawatankuasa Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Bahagian N.40 Bingkor hari ini mengumumkan keputusan untuk keluar daripada parti tersebut berkuat kuasa serta-merta.

Pengisytiharan itu dibuat dalam satu majlis khas yang diketuai oleh Naib Ketua Bahagian STAR Bingkor, Danil Palangi, bersama beberapa Ahli Jawatankuasa bahagian yang lain.

Dalam sidang media tersebut, Danil berkata keputusan berkenaan dibuat secara sukarela setelah mengambil kira pelbagai pertimbangan berkaitan hala tuju perjuangan politik dan kepentingan rakyat di kawasan Bingkor.

“Keputusan ini dibuat tanpa sebarang paksaan atau desakan daripada mana-mana pihak. Ia adalah keputusan bersama yang lahir daripada pertimbangan matang demi memastikan perjuangan kami terus relevan dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Menurut beliau, sebagai antara individu yang terlibat dalam membina dan mengembangkan STAR di Bahagian Bingkor sejak peringkat awal, mereka berpendapat bahawa parti itu tidak lagi mampu memenuhi aspirasi serta harapan yang diinginkan oleh sebahagian besar kepimpinan dan akar umbi di kawasan tersebut.

“Kami sentiasa meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan politik. Oleh itu, kami merasakan sudah tiba masanya untuk membuka lembaran baharu dalam usaha memperjuangkan pembangunan, kebajikan dan masa depan masyarakat di Bingkor,” tambah beliau.

Danil turut menegaskan bahawa walaupun mereka tidak lagi bersama STAR, komitmen untuk terus mendampingi rakyat tidak akan berubah.

“Kami akan terus turun padang, mendengar denyut nadi rakyat serta membantu menyelesaikan masalah masyarakat dalam kapasiti yang bersesuaian. Perjuangan untuk rakyat tidak terhenti hanya kerana perubahan platform politik.”

Pada masa yang sama, beliau menyatakan sokongan berterusan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, yang disifatkan sebagai pemimpin berjiwa rakyat dan sentiasa mengutamakan kestabilan politik serta pembangunan negeri.

“Kami melihat kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor telah membawa pendekatan yang inklusif, sederhana dan berfokus kepada pembangunan rakyat. Justeru, kami akan terus memberikan sokongan kepada usaha-usaha yang membawa manfaat kepada rakyat dan negeri Sabah.”

Beliau turut menyeru rakyat agar terus mengekalkan semangat perpaduan dan bersama-sama menyokong agenda pembangunan demi kemajuan Bingkor serta kesejahteraan seluruh rakyat Sabah.-pr/BNN