KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah mengambil perhatian serius terhadap insiden pergaduhan yang melibatkan beberapa murid di Tawau dan tular di media sosial.

Dalam kenyataan hari ini, JPN Sabah memaklumkan pihak sekolah bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah mengambil tindakan segera dengan mengenal pasti murid yang terlibat serta menjalankan siasatan dalaman berhubung kejadian itu.

Menurut kenyataan itu, kes berkenaan turut disiasat pihak polis dan JPN Sabah memberikan kerjasama penuh bagi membantu proses siasatan yang sedang berjalan.

JPN Sabah menegaskan bahawa walaupun kejadian berlaku di luar kawasan sekolah, sebarang bentuk salah laku yang melibatkan murid dipandang serius kerana boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan pelajar selain mencemarkan imej institusi pendidikan.

“JPN Sabah tidak akan berkompromi dengan insiden salah laku sedemikian dan tindakan tegas akan diambil terhadap murid yang didapati bersalah selaras dengan peruntukan serta garis panduan yang sedang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, JPN Sabah menyeru semua pihak agar memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil terhadap mereka yang terbabit.-BNN