KENINGAU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata Kerajaan Negeri akan terus menyokong usaha memperkukuhkan jaringan kerjasama dalam memperluaskan akses kepada pendidikan, intervensi awal dan perkhidmatan sokongan untuk kanak-kanak berkeperluan pendidikan khas.

Menurut beliau, kerjasama itu melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri, sekolah, ibu bapa, agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, sektor swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Malah, pada tahun ini sahaja, kerajaan telah memperuntukkan RM173.56 juta kepada Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat serta jabatan dan agensi di bawahnya bagi melaksanakan pelbagai program yang bertujuan meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

“Dalam konteks Kerajaan Negeri, kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, termasuk kebajikan orang kurang upaya (OKU), anak yatim, warga emas, ibu tunggal serta golongan miskin dan kurang berkemampuan.

“Sehubungan itu, pelbagai program sedang dilaksanakan pada tahun ini menerusi Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat,” katanya ketika merasmikan Program NeuroHope 2026 di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Bingkor, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.

Menurut Hajiji, antara program yang disediakan ialah skim bantuan kebajikan meliputi OKU, warga emas, kanak-kanak, ibu tunggal, Skim Bantuan Anak Yatim, Program Bantuan Makanan kepada golongan miskin dan kurang berkemampuan serta peluasan Pusat Autisme Sabah (PAUS).

“Ketika ini, PAUS Kota Kinabalu yang terletak di Sembulan telah beroperasi dengan baik dan menyediakan perkhidmatan kepada kanak-kanak autisme di Kota Kinabalu. Justeru, saya berharap masyarakat memanfaatkan sepenuhnya semua program yang disediakan kerajaan.

“PAUS akan menyediakan pendidikan awal yang berkualiti dan mampu milik kepada kanak-kanak autisme berusia antara tiga hingga tujuh tahun.

“Pusat-pusat ini akan diwujudkan secara berperingkat di Tawau, Sandakan, Kudat dan Beaufort bermula tahun ini,” katanya.

Hajiji berkata Program NeuroHope merupakan inisiatif berasaskan komuniti yang menghimpunkan sektor pendidikan, kesihatan, kerajaan, pertubuhan masyarakat, ibu bapa dan komuniti dengan matlamat bersama untuk membina masyarakat yang lebih memahami serta menyokong perkembangan setiap kanak-kanak.

“Menerusi program hari ini, saya menyeru ibu bapa, guru, pemimpin masyarakat dan orang ramai agar merebut peluang ini untuk menambah ilmu, berkongsi pengalaman serta bekerjasama membina ekosistem sokongan yang holistik.

“Kita mengiktiraf bahawa sokongan bukan sahaja perlu datang daripada ahli keluarga terdekat, tetapi juga melalui komitmen kukuh daripada masyarakat, profesional kesihatan dan pertubuhan bukan kerajaan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan mengucapkan tahniah kepada seluruh warga SK Bingkor kerana membuktikan sekolah mampu berperanan sebagai pusat pembangunan komuniti.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Dr Velerie Primus atas dedikasi beliau memperjuangkan pendidikan inklusif sehingga menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

“Beliau telah mengharumkan nama Malaysia dan Sabah apabila dinobatkan sebagai pemenang Cambridge Dedicated Teacher Awards 2026 bagi rantau Asia Tenggara dan Pasifik, disenaraikan dalam Top 50 Finalis Global Teacher Prize, serta menerima Anugerah Khas Menteri Pendidikan Malaysia,” katanya.

Ketua Menteri berharap Program NeuroHope dapat diperluaskan menjadi satu gerakan yang memberi manfaat dan inspirasi kepada lebih banyak sekolah, komuniti dan daerah di seluruh Sabah.

“Semoga program ini menjadi permulaan kepada satu gerakan yang lebih besar dalam memperkukuh pendidikan inklusif, memperkasa keluarga dan membina masyarakat yang lebih prihatin demi masa depan Sabah yang lebih cerah,” katanya.-pr/BNN