KENINGAU: Pengetua Sekolah Adat Anak Negeri Sabah (SAANS) Bingkor, Nordin Ampor Kasip Lasawon, menyatakan sokongan penuh terhadap kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Anak Negeri 2026 yang disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh sistem perundangan dan institusi adat anak negeri di Sabah.
Beliau berkata, RUU berkenaan menyediakan asas perundangan yang lebih kukuh bagi memperkasa pentadbiran, tadbir urus dan pelaksanaan undang-undang adat secara lebih tersusun, profesional serta telus.
Katanya, beliau turut menyokong pendirian Presiden Pertubuhan Masyarakat Adat Anak Negeri Sabah, Sunduan Nabalu (MAANS), Salmon Sanangan, yang menyifatkan kelulusan RUU itu sebagai pencapaian bersejarah dalam usaha memelihara hak, martabat dan warisan masyarakat asal Sabah.
“SAANS Bingkor komited menjadi rakan strategik dalam melahirkan generasi yang memahami, menghormati dan mempertahankan adat serta identiti anak negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.
Nordin berkata, institusi pendidikan adat mempunyai peranan penting dalam memperkukuh pemahaman generasi muda terhadap adat, budaya dan undang-undang anak negeri menerusi pendidikan, latihan serta pendokumentasian yang berterusan.
Beliau berkata, kerjasama erat antara kerajaan negeri, Mahkamah Anak Negeri, MAANS, SAANS, institusi akademik dan kepimpinan adat perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan pelaksanaan RUU itu memberi manfaat menyeluruh kepada masyarakat.
Menurutnya, kejayaan RUU Mahkamah Anak Negeri 2026 bukan hanya diukur melalui kelulusannya di Dewan Undangan Negeri, tetapi menerusi komitmen semua pihak untuk menghayati dan melestarikan pelaksanaannya demi memastikan sistem Mahkamah Anak Negeri terus relevan serta dihormati oleh generasi akan datang.-pr/BNN





