KOTA KINABALU: Pihak berkaitan dan kontraktor pelaksana projek naik taraf jalan raya serta jambatan di laluan Tebobon–Tuaran–Tamparuli didesak agar mengutamakan pengurusan trafik yang lebih berasaskan kebajikan pengguna sepanjang tempoh pembinaan berlangsung.
Langkah berkenaan penting bagi mengurangkan kelewatan perjalanan harian yang kini menjejaskan produktiviti pekerja, pelajar, peniaga tempatan, serta sektor logistik dan pelancongan di kawasan terbabit.
Timbalan Presiden Kelab Komuniti Sayang Sabah, Steve Johnny Mositun, berkata walaupun projek perhubungan infrastruktur itu penting untuk pembangunan jangka panjang negeri, kesusahan harian yang ditanggung oleh orang awam tidak wajar dipandang ringan.
“Kami menggesa agar agensi berkaitan dan kontraktor pelaksana mengambil langkah proaktif dalam menguruskan aliran trafik bagi meminimumkan gangguan. Kesejahteraan dan keselamatan harian pengguna jalan raya perlu sentiasa menjadi keutamaan sepanjang projek dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Steve, kecekapan pelaksanaan sesebuah projek infrastruktur awam bukan sahaja dinilai menerusi hasil akhir, tetapi juga melalui keupayaan mematuhi garis masa dan standard keselamatan tapak binaan secara konsisten.
Sehubungan itu, pihak NGO berkenaan mengemukakan tiga syor utama bagi menangani isu kesesakan lalu lintas di laluan berkenaan:
– Peningkatan Kawalan Trafik: Memperkemas papan tanda amaran, menyediakan laluan alternatif yang selamat, dan menempatkan petugas kawalan trafik terutamanya pada waktu puncak.
– Ketelusan Maklumat: Menyampaikan maklumat kemajuan projek dan jadual gangguan lalu lintas secara berkala kepada media dan orang awam.
– Kawalan Keselamatan Tapak: Memastikan kontraktor mematuhi prosedur piawai keselamatan untuk mengelakkan risiko kemalangan.
Katanya lagi, penyelesaian projek ini secara keseluruhannya dijangka memberi impak positif yang besar kepada Sabah, terutamanya dalam mengurangkan kesesakan trafik dari Tebobon hingga ke Tamparuli.
“Projek ini bukan sahaja dapat menjimatkan masa perjalanan, malah bakal memperkasakan sektor pelancongan, melancarkan perkhidmatan logistik, serta memacu ekonomi penduduk setempat,” katanya.
Steve juga memohon agar pengguna jalan raya kekal bersabar, sentiasa mematuhi papan tanda keselamatan, dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak pembinaan.
Tegas beliau, sebagai pertubuhan masyarakat sivil, pihak kelab akan terus memainkan peranan bebas untuk menyuarakan aspirasi rakyat, di samping memastikan aspek ketelusan dan kebertanggungjawaban dipelihara oleh mana-mana pihak pelaksana projek awam di Sabah.-pr/BNN




