KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berada di landasan tepat untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) nanti.
Bendahari PGRS Bahagian Apas; Datuk Najib Tay Abdullah berkata, salah satu intipatinya adalah kesemua komponen parti itu dilihat mewakili masyarakat yang majmuk di Sabah selain mempunyai pengalaman luas dalam lanskap politik di negara ini.
Jelasnya, keibawaan Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah telah terbukti sebagai sebuah mercu perpaduan antara parti meskipun yang dahulunya pernah menjadi pihak lawan.
“Saya berpendapat bahawa di Sabah, Hajiji dan barisan pimpinan GRS yang lain tidak mempunyai masalah besar dalam menghadapi PRU16.
“Ini kerana di Sabah, kita telah mengamalkan penyatuan antara semua parti baik BN dan PH yang turut berada dalam kerajaan negeri.
“Malah, Hajiji juga dilihat lebih menumpukan proses membangunkan negeri bukan berpolitik sepanjang masa dan ini terbukti dengan pelbagai usaha seperti tuntutan dalam isu MA63, pelaksanaan pelan SMJ 2.0 dan banyak lagi, “katanya.
Jelas Najib Tay, isu kebajikan dalam memastikan masyarakat akar umbi terus menjadi keutamaan dengan pelbagai inisiatif seperti Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) Sabah dan rumah SMJ.
“Inilah dikatakan sebuah kerajaan yang berkerja dan kurang bercakap hal politik sentiasa.
“Jika terdapat kelemahan, kritiklah secara membina bukannya secara membuta tuli sahaja, “katanya.
Tambah beliau lagi, belum tentu lagi mana-mana pentadbir akan datang mampu mentadbir secara efisyen seperti GRS dan sekutunya yang mana gabungan kerajaan berkenaan dilihat sudah mempunyai trek rekod terbaik sepanjang tempoh pentadbiran sebelum ini.-pr/BNN





