TUARAN: Perkhidmatan kesihatan perlu terus didekatkan kepada masyarakat, khususnya penduduk kampung dan luar bandar yang mungkin mempunyai kekangan mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata program turun padang seperti Kem Kesihatan Kampung Baru-Baru penting bagi memberi peluang kepada masyarakat menjalani pemeriksaan awal, mendapatkan nasihat petugas kesihatan serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan diri dan keluarga.

Beliau berkata, kerajaan negeri amat menitikberatkan kesejahteraan hidup rakyat di peringkat akar umbi, justeru pemeriksaan kesihatan secara berkala amat penting kerana penyakit seperti tekanan darah tinggi dan kencing manis boleh berlaku tanpa menunjukkan tanda jelas pada peringkat awal.

“Justeru, kempen dan kem perubatan seperti yang dilaksanakan pada hari ini memberi peluang kepada masyarakat untuk membuat pemeriksaan awal. Saya juga percaya pendekatan mencegah lebih baik daripada mengubati perlu terus kita semai dalam masyarakat,” katanya pada majlis perasmian Kem Kesihatan Kampung Baru-Baru di dewan kampung itu, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia, Datuk Mohammad Ghazali Hajiji.

Hajiji berkata, beliau amat menghargai komitmen warga Hospital Tuaran yang sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, selain kerjasama Ahli Lembaga Pelawat Hospital Tuaran, pihak hospital, pemimpin masyarakat dan penduduk setempat.

“Saya berharap program sebegini dapat diteruskan dari semasa ke semasa dan diperluaskan ke kampung-kampung lain di sekitar daerah Tuaran,” katanya sambil menyeru masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat, pemakanan seimbang dan menjaga kebersihan persekitaran.

Dalam pada itu, beliau berkata kesejahteraan dan kebajikan rakyat kekal sebagai agenda utama pentadbiran kerajaan negeri menerusi pelbagai inisiatif di bawah hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), termasuk pelaksanaan Rumah Mesra SMJ dan Program SYUKUR bagi membantu rakyat miskin dan kurang berkemampuan.

Katanya, kerajaan negeri melalui Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KWKKR) serta jabatan dan agensinya turut menyediakan pelbagai bantuan kebajikan kepada golongan OKU, warga emas, kanak-kanak, ibu tunggal dan anak yatim, selain bantuan makanan kepada golongan daif dan miskin serta Program Homeward bagi membantu golongan rentan.

Hajiji berkata, pembangunan semua kampung dan kawasan di Sabah termasuk Tuaran akan terus diberi perhatian bagi memastikan penduduk menikmati limpahan pembangunan yang seimbang dan setara, termasuk pembangunan asas, kemudahan infrastruktur, peluang ekonomi serta peningkatan kesejahteraan hidup.

“Ini untuk memastikan tiada kawasan atau kampung yang tercicir daripada arus kemajuan di bawah pentadbiran kerajaan negeri. Oleh itu, pemimpin di peringkat akar umbi memainkan peranan penting dalam menyelaraskan agenda di peringkat kampung,” katanya.-pr/BNN