KOTA MARUDU: Orang Asal Sabah mempunyai peranan yang penting dalam pembangunan negeri dan harus terus bersama-sama mengambil bahagian dalam usaha membina masa depan Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

“Bagi Kerajaan Negeri, kemajuan yang kita usahakan haruslah mengambil kira kepentingan seluruh lapisan masyarakat, selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya untuk membina sebuah negeri yang maju, aman dan sejahtera,” katanya pada majlis perasmian Karnival Momogun sempena Hari Orang Asal Sedunia 2026 di Dataran Kota Marudu pada Sabtu.

Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II/Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Ketua Menteri berkata Perlembagaan Persekutuan sendiri mengiktiraf kedudukan Anak Negeri Sabah.

Menurutnya, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, antara lain, memperuntukkan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa Anak Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain.

Oleh itu, Peruntukan ini mencerminkan pengiktirafan terhadap kedudukan Anak Negeri Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan, katanya.

“Dalam konteks sambutan Hari Orang Asal Sedunia, ia juga mengingatkan kita tentang pentingnya memelihara identiti, bahasa, adat resam, kebudayaan dan sejarah Orang Asal Sabah sebagai sebahagian daripada khazanah negeri Sabah,” katanya.

“Ia mengingatkan kita bahawa bahasa, budaya, adat, seni dan sejarah yang diwarisi daripada generasi terdahulu merupakan sebahagian daripada khazanah yang membentuk jati diri sesebuah masyarakat.

“Di Sabah, perkara ini amat dekat dengan kita. Negeri ini sejak sekian lama menjadi tanah air kepada pelbagai etnik dan komuniti Anak Negeri yang masing-masing mempunyai bahasa, adat resam, kebudayaan dan sejarahnya yang tersendiri.

“Kepelbagaian etnik dan komuniti Anak Negeri ini bukanlah sesuatu yang memisahkan kita. Sebaliknya, kepelbagaian inilah yang menjadi salah satu kekuatan terbesar Sabah dan membentuk keunikan negeri yang kita cintai ini,” katanya.

Beliau menegaskan Kerajaan Negeri sentiasa menghormati kepelbagaian identiti, istilah dan tradisi yang digunakan oleh pelbagai etnik dan komuniti Anak Negeri di Sabah.

Tema Karnival Momogun sempena Hari Orang Asal Sedunia pada tahun ini, iaitu “Memperkasa Kesejahteraan Orang Asal”, amat bertepatan dengan usaha untuk memastikan pembangunan negeri berjalan seiring dengan kesejahteraan rakyat, katanya.

“Kesejahteraan tidak seharusnya dilihat dari sudut pembangunan ekonomi semata-mata. Ia turut merangkumi keharmonian masyarakat, pemeliharaan identiti dan warisan, pendidikan, pembangunan modal insan serta keupayaan masyarakat untuk menyesuaikan diri dengan perubahan tanpa kehilangan akar budaya dan jati diri mereka,” katanya.

Katanya, usaha seperti penganjuran Karnival Momogun pada hari ini turut memberi peluang kepada generasi muda untuk mengenali dengan lebih dekat bahasa, adat, seni, kebudayaan dan sejarah yang diwarisi oleh masyarakat mereka.

“Pada masa yang sama, ia membuka ruang kepada masyarakat yang lebih luas untuk mengenali dan menghargai kekayaan budaya yang terdapat di negeri Sabah.

Dalam hubungan ini, United Nations Declaration on the Rights of Indigenous Peoples atau UNDRIP turut menjadi salah satu rujukan penting di peringkat antarabangsa berhubung masyarakat Orang Asal.

Antara perkara yang diberikan perhatian dalam UNDRIP termasuklah kepentingan identiti, bahasa, adat, tradisi dan warisan budaya masyarakat Orang Asal serta pewarisannya kepada generasi seterusnya.

“Prinsip-prinsip ini mengingatkan kita bahawa pembangunan dan pemeliharaan warisan tidak semestinya bertentangan antara satu sama lain,” katanya.

Mengucapkan tahniah kepada Momogun National Congress, Pejabat Daerah Kota Marudu, Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah serta seluruh jawatankuasa penganjur atas kejayaan menganjurkan Karnival Momogun, Hajiji berkata “Sabah adalah rumah kita bersama.”

“Negeri ini dibentuk oleh kepelbagaian masyarakat, bahasa, kebudayaan dan adat resam yang telah hidup bersama sejak sekian lama.

“Kerajaan Negeri akan terus berusaha memastikan pembangunan negeri dilaksanakan dengan mengambil kira kepentingan dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya,” katanya.-pr/BNN