KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersetuju supaya sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Sabah (HPPNS) Peringkat Negeri Tahun 2026 diadakan di daerah, bukan hanya tertumpu di Kota Kinabalu, bagi mendekatkan program itu dengan masyarakat serta memberi manfaat kepada petani,penternak, nelayan dan peniaga setempat.
Persetujuan itu disampaikan ketika menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Induk HPPNS 2026 yang diketuai Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri (MAFFI), Datuk Ruslan Muharam, yang juga Timbalan Pengerusi jawatankuasa berkenaan, di Menara Kinabalu, hari ini.
Turut hadir Setiausaha Tetap MAFFI, Datuk Ts Haji Jifrin Haji Mohamad serta ahli Jawatankuasa Induk HPPNS 2026.
Ruslan berkata, Hajiji dijemput merasmikan sambutan HPPNS 2026 yang dijadual berlangsung di Tenom dari 23 hingga 25 Oktober ini, dengan majlis perasmian pada 24 Oktober 2026 dan dijangka akan menarik kira-kira 20,000 pengunjung.
“Ketua Menteri amat bersetuju supaya sambutan HPPNS dibawa ke daerah kerana pendekatan ini memberi peluang kepada peniaga setempat, selain memudahkan petani, penternak dan nelayan membawa hasil mereka untuk dipamerkan serta dipasarkan,”katanya.
Beliau berkata, penganjuran HPPNS di daerah juga membolehkan masyarakat setempat berkunjung ke pesta berkenaan, sekali gus membantu menggerakkan aktiviti ekonomi dan perniagaan di kawasan terbabit.
Menurutnya, penganjuran di Tenom turut membuka ruang untuk sambutan HPPNS diadakan secara bergilir di daerah lain pada masa akan datang, selain Kota Kinabalu,di samping memberi pengiktirafan menerusi pelbagai anugerah kepada usahawan tani,penternak dan nelayan yang berjaya.-pr/BNN





