SELANGOR: Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) terus memperkukuh usaha memperkasa komuniti peladang dan mempercepat transformasi sektor pertanian Sabah menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Advance Retro Solution Sdn Bhd (ARS), hari ini.
Kerjasama strategik itu memberi tumpuan kepada pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), penerapan teknologi moden, peningkatan kemahiran serta pengukuhan ekosistem pertanian dan agroindustri di Sabah.
Majlis pemeteraian yang berlangsung di Ibu Pejabat ARS di Selangor itu turut mencerminkan komitmen PPNS meneroka pendekatan baharu dalam memperkasa modal insan, khususnya dalam kalangan peladang, belia dan komuniti yang terbabit dalam sektor agro.
MoU itu ditandatangani Timbalan Pengerusi PPNS, Datuk Ng Loi Tect dan Ahli Jemaah Pengarah PPNS, Benny Franklin Hartheman, manakala ARS diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Peter Lai Kim Wa dan Pengarah Jualan, David Leow.
Majlis itu turut disaksikan Pengerusi PPNS, Datuk Mohd Nazri Abdullah dan Pengurus Besar PPNS, Ruddy Hasmawie Mohamad.
Kerjasama berkenaan menyediakan landasan kepada PPNS dan ARS untuk meneroka pelaksanaan program serta projek yang dapat mendekatkan teknologi, latihan kemahiran dan pembangunan kompetensi kepada peladang, belia serta komuniti yang berkaitan dengan sektor agro di Sabah.
Antara inisiatif strategik yang berpotensi diterokai menerusi kerjasama itu ialah PPNS Agro–TVET Hub, iaitu platform bersepadu bagi latihan kemahiran, demonstrasi dan pemindahan teknologi, pembangunan kompetensi serta inovasi berasaskan industri.
Hub berkenaan dicadangkan sebagai ekosistem yang menghubungkan keseluruhan rantaian teknologi pertanian moden, bermula daripada teknologi di ladang, mekanisasi dan mobiliti, hinggalah kepada pemprosesan agro serta penyelenggaraan sistem dan peralatan.
Lima bidang teknologi yang berpotensi menjadi teras pembangunan hub itu ialah Pertanian Pintar (Smart Agriculture), Automotif dan Mobiliti Hijau (Automotive & Green Mobility), Mekanisasi dan Automasi Pertanian (Agricultural Mechanization & Automation), Pemprosesan Agro (Agro-Processing) serta Penyelenggaraan Industri (Industrial Maintenance).
Kerjasama itu turut berpotensi merangkumi latihan berasaskan industri, program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula (upskilling & reskilling), Training of Trainers (ToT), pembangunan modul latihan, bengkel teknikal, demonstrasi teknologi serta pembangunan keusahawanan.
Pendekatan latihan secara amali (hands-on) membolehkan peserta bukan sahaja memahami teknologi dari aspek teori, malah memperoleh pengalaman praktikal dalam mengendalikan, menyelenggara dan mengaplikasikan teknologi dalam persekitaran sebenar.
Inisiatif itu juga dijangka membuka ruang lebih luas kepada generasi muda Sabah untuk melihat sektor pertanian sebagai bidang kerjaya dan keusahawanan moden yang semakin dipacu teknologi, automasi, data serta mobiliti hijau.
Kerjasama berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha PPNS merapatkan jurang antara perkembangan teknologi industri dengan pembangunan kompetensi TVET, di samping memastikan komuniti peladang dan generasi muda Sabah mempunyai akses kepada pengetahuan, kemahiran serta teknologi yang relevan dengan keperluan industri masa hadapan.
Menerusi kekuatan PPNS dalam jaringan dan pembangunan komuniti peladang di Sabah, digabungkan dengan kepakaran ARS dalam bidang teknologi, TVET dan pembangunan industri, kerjasama itu berpotensi mewujudkan model pembangunan yang menggabungkan kemahiran, teknologi, produktiviti dan keusahawanan dalam satu ekosistem yang lebih menyeluruh.
“PPNS Agro–TVET Hub bukan sekadar pusat latihan, tetapi berpotensi menjadi platform transformasi yang menghubungkan teknologi, industri dan komuniti bagi memacu masa depan pertanian Sabah.”
Susulan pemeteraian MoU itu, PPNS dan ARS akan meneruskan perbincangan bagi mengenal pasti bidang keutamaan, keperluan latihan dan teknologi, lokasi serta kemudahan yang bersesuaian, selain membangunkan model pelaksanaan yang dapat memberikan impak praktikal kepada kumpulan sasaran.
Pemeteraian MoU itu menjadi titik permulaan kepada kerjasama strategik jangka panjang yang diharapkan dapat memperkasa komuniti peladang, membangunkan generasi tenaga mahir baharu serta mempercepat transformasi sektor pertanian Sabah ke arah yang lebih moden, berteknologi, produktif, berdaya saing dan mampan.-pr/BNN





