KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyertai ribuan rakyat Sabah dalam sambutan Hari Sabah yang penuh warna-warni di Dataran Bandaraya di sini, malam ini.

Sambutan dimulakan dengan ucapan pengisytiharan oleh Yang di-Pertua Negeri, diikuti upacara menaikkan bendera serta pelbagai persembahan.

Antara persembahan yang diadakan ialah pertunjukan cahaya laser, nyanyian koir oleh kumpulan Male-Efficient serta persembahan pelbagai artis tempatan sebelum tayangan montaj khas dan persembahan lagu Sabah Tanah Airku.

Turut diadakan perarakan dengan motif Hari Sabah.

Yang di-Pertua Negeri diiringi isteri, Toh Puan Faridah Tussin, manakala Hajiji diiringi isteri, Datin Seri Panglima Datuk Juliah Salag.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zainudin Aman, anggota Jemaah Menteri Negeri serta wakil rakyat.-pr/BNN