KOTA KINABALU: Indeks Pencemar Udara (IPU) yang direkodkan di laman sesawang Jabatan Alam Sekitar bagi Negeri Sabah pada jam 5.00 petang menunjukkan kesemua enam (6) stesen mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu 172** untuk Stesen Kota Kinabalu, 178** untuk Stesen Politeknik, 171** untuk Stesen Kimanis, 174** untuk Stesen Keningau, 102** untuk Stesen Tawau dan 145** untuk Stesen Sandakan.
KAWASAN-KAWASAN YANG MENGALAMI JEREBU Kualiti udara di negeri Sabah telah terjejas akibat jerebu rentas sempadan yang berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah gambut di Kalimantan, sebagaimana dilaporkan oleh Utusan Malaysia.
Asap tebal daripada kebakaran tersebut dipercayai telah dibawa oleh tiupan angin merentasi wilayah Borneo, termasuk ke Sabah.
Berdasarkan laporan JBPM Sabah dan hasil rondaan pencegahan pembakaran terbuka yang dilaksanakan oleh pegawai JAS pada 2 SEPTEMBER 2026, tiada kejadian kebakaran besar lain dikesan atau dilaporkan di sekitar kawasan di sekitar Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Beaufort, Sandakan dan Tawau.
Selain daripada itu, menurut laporan oleh ASMC yang berpusat di Singapura pada 1 September 2026 melalui imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20, tiada sebarang titik panas (hotspot) dikesan di Sabah.
Laporan yang sama menunjukkan sebanyak 943 titik panas yang masih aktif dikesan di Kalimantan dan 133 di Sumatera bagi cerapan 1 September 2026.
BAGAIMANA SESUATU JEREBU BOLEH DIISYTIHAR TAHAP BAHAYA?
Merujuk kepada Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan beberapa tahap amaran telah dijelaskan dengan berpandu kepada nilai bacaan IPU semasa.
Secara umum bacaan IPU dari 101-200 memberi petunjuk kesan kesihatan Tidak Sihat; IPU 201-300 Sangat Tidak Sihat; 301-400 Bahaya dan 400-500> adalah Sangat Bahaya
PENGUATKUASAAN JAS
Berikutan keadaan cuaca panas dan kering, Jabatan Alam Sekitar (JAS) sentiasa bersiap siaga untuk mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan serta aktiviti rondaan harian di kawasan yang berpotensi berlakunya pembakaran terbuka.
JAS turut memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dari semasa ke semasa. Pada 2 SEPTEMBER 6 2026, rondaan harian telah dilaksanakan di kawasan Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Beaufort, Sandakan dan Tawau dengan memberikan tumpuan kepada kawasan-kawasan sensitif serta lokasi berhampiran stesen pengawasan kualiti udara sedia ada.
Setakat ini sebanyak 502 rondaan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) telah dijalankan.
NASIHAT KEPADA ORANG RAMΑΙ
Bacaan IPU terkini setiap jam boleh dirujuk di laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) di laman sesawang, https://eqms.doe.gov.my/APIMS atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar rasmi MyJAS EQMS di ‘Play store’.
- Orang ramai dinasihatkan melayari laman web Kementerian Kesihatan Malaysia (www.moh.gov.my) bagi mendapatkan nasihat kesihatan dan langkah-langkah pencegahan semasa jerebu
- Orang ramai diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.
- Menurut Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak kurang RM25,000 dan tidak melebihi RM 1,000,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali
- Kompaun maksimum sebanyak RM 2000 atau tidak melebihi RM 500,000 juga boleh dikenakan atas kesalahan melakukan pembakaran terbuka.
- Orang ramai diminta bekerjasama untuk memadam kebakaran-kebakaran kecil dan juga melaporkan kes-kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di talian bebas tol, 1-800-88-2727





