KOTA KINABALU: Persatuan Mantan Pendidik Sabah (PMPS) mahu pengalaman dan kepakaran bekas warga pendidik terus dimanfaatkan bagi memperkukuh pembangunan pendidikan di Sabah.

Presidennya, Dr Aslie Hj Sahat, berkata persaraan daripada perkhidmatan tidak bermakna seseorang pendidik perlu berhenti menyumbang, sebaliknya pengalaman luas mereka masih mampu memberikan nilai tambah kepada sektor pendidikan.

“Mantan pendidik bersara daripada perkhidmatan, bukan bersara daripada menyumbang,” katanya ketika mengetuai kunjungan hormat PMPS kepada Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Tuan Hj Abidin Marjan, di Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), di sini, hari ini.

Kunjungan itu turut bertujuan menyampaikan tahniah kepada Abidin atas pelantikan sebagai Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, selain menyatakan komitmen PMPS untuk terus menyumbang kepada pembangunan pendidikan dan masyarakat.

Aslie berkata, PMPS menghimpunkan mantan pendidik yang mempunyai pelbagai latar pengalaman dan kompetensi, termasuk dalam bidang kepimpinan, pengurusan organisasi, pembangunan profesional serta kompetensi warga pendidikan.

Katanya, kepakaran ahli turut merangkumi bidang digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI), pengurusan berasaskan ISO 9001:2015 dan kitaran PDCA, selain perkongsian ilmu serta bimbingan kepada sekolah dan komuniti pendidikan.

Beliau berkata, PMPS bersedia bekerjasama dengan JPNS dalam pelbagai program pendidikan, kemasyarakatan dan kebajikan, termasuk penganjuran seminar, bengkel, forum serta sesi perkongsian ilmu dan kepakaran.

Menurutnya, kerjasama strategik itu penting bagi menyediakan platform lebih tersusun untuk membolehkan pengalaman mantan pendidik terus dimanfaatkan demi kepentingan warga pendidikan dan murid di Sabah.

Delegasi PMPS turut disertai Setiausaha Agung, Alli Majittaba, serta Hj Ak Jiar Pg Hj Duraman, Hjh Maznah Hj Abd Ghani dan Hj Ag Sani Anong. Pertemuan itu diharap menjadi titik permulaan kepada kerjasama lebih erat dan berterusan antara PMPS dan JPNS.-pr/BNN