TENOM: Kerajaan perlu memperkukuh kerangka perundangan dan mekanisme penguatkuasaan bagi menangani isu jerebu rentas sempadan, termasuk memastikan syarikat tempatan yang terbukti terlibat dalam pembakaran hutan atau ladang di luar negara dikenakan tindakan tegas.
Ahli Parlimen Tenom, YB Riduan Rubin, berkata isu jerebu rentas sempadan yang berulang bukan sahaja menjejaskan alam sekitar, malah mengancam kesihatan manusia, habitat hidupan liar serta imej industri perladangan serantau.
Beliau berkata Malaysia pada masa sama perlu menghormati kedaulatan dan bidang kuasa negara jiran, namun tindakan wajar diambil sekiranya kesalahan melibatkan entiti tempatan yang tertakluk kepada undang-undang negara.
“Kerajaan wajar meneliti semula keperluan untuk menyegerakan pembentukan Akta Jerebu Rentas Sempadan (Transboundary Haze Pollution Act) yang pernah dibincangkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan media bertarikh 2 September 2026.
Menurut Riduan, undang-undang khusus itu penting bagi mengisi kelompongan dalam kerangka sedia ada dan membolehkan penalti lebih berat dikenakan terhadap syarikat tempatan yang terbukti melakukan kesalahan, sama ada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mahupun swasta.
Beliau turut mencadangkan penerapan prinsip “polluter pays”, iaitu pihak yang terbukti menyebabkan pencemaran perlu bertanggungjawab terhadap kos kerosakan, mitigasi dan pemulihan akibat tindakan mereka.
Katanya, kos kesihatan dan langkah mitigasi kerajaan, termasuk operasi pembenihan awan apabila diperlukan, melibatkan perbelanjaan awam yang besar dan tidak seharusnya ditanggung sepenuhnya oleh rakyat.
Riduan berkata pembakaran hutan dan ladang secara tidak terkawal turut menyebabkan kemusnahan ekosistem, pencemaran udara, pelepasan karbon serta kehilangan habitat, sumber makanan dan kawasan perlindungan hidupan liar.
Dalam pada itu, beliau menegaskan tindakan terhadap pihak yang terbukti melakukan kesalahan tidak seharusnya dilihat sebagai tindakan menghukum keseluruhan industri perladangan, sebaliknya penting bagi melindungi pemain industri yang mematuhi undang-undang dan mengamalkan prinsip kelestarian.
Beliau turut menekankan keperluan kerjasama serantau melalui perkongsian maklumat dan sikap saling menghormati kedaulatan setiap negara dalam menangani isu jerebu rentas sempadan.
“Kita tidak perlu menuding jari kepada mana-mana negara. Apa yang lebih penting ialah memastikan tiada pihak yang terlepas daripada tanggungjawab sekiranya kesalahan dapat dibuktikan,” katanya.
Riduan berkata alam sekitar dan udara tidak mengenal sempadan, justeru tanggungjawab untuk memeliharanya juga tidak boleh dibatasi oleh sempadan.-pr/BNN





