KOTA KINABALU: Rakyat Sabah berharap isu pembayaran 40 peratus hasil bersih Sabah diberi keutamaan dalam Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 9 Oktober ini.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor (PKMB), Haji Yazid Haji Mohd. Hasnan Tawik @ Charles, berkata Belanjawan 2027 adalah ruang terbaik bagi Kerajaan Persekutuan memberikan komitmen lebih konkrit, jelas dan meyakinkan terhadap pelaksanaan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurutnya, rakyat Sabah sudah lama menantikan penyelesaian yang lebih jelas dan kini tiba masanya hak berkenaan diterjemahkan melalui peruntukan, mekanisme pembayaran serta garis masa pelaksanaan yang boleh diyakini.
“Rakyat Sabah tidak mahu isu ini terus menjadi perbincangan dari tahun ke tahun. Kita mahu melihat tindakan nyata. Jika 40 peratus itu adalah hak yang diperuntukkan, rakyat mahu melihat bagaimana ia dilaksanakan secara telus, adil dan berperingkat,” katanya.
Yazid berkata pelaksanaan pembayaran 40 peratus bukan sekadar soal angka atau kewangan, sebaliknya berkait rapat dengan kapasiti pembangunan Sabah dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, sumber kewangan yang lebih kukuh akan membolehkan kerajaan negeri mempercepatkan penyelesaian isu asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik, kesihatan, pendidikan, infrastruktur luar bandar, perumahan serta pembangunan ekonomi dan peluang pekerjaan.
“Kita mahu melihat lebih banyak pembangunan sampai ke kampung dan kawasan luar bandar. Rakyat Sabah mahu merasai sendiri manfaat hasil negeri melalui kemudahan asas yang lebih baik dan peluang ekonomi yang lebih luas,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Persekutuan mempunyai peluang menjadikan Belanjawan 2027 sebagai titik penting untuk memperkukuh keyakinan rakyat Sabah terhadap pelaksanaan MA63.
“Sabah adalah sebahagian penting daripada Malaysia. Kita mahu pembangunan negara terus kukuh, tetapi pada masa sama hak Sabah yang termaktub dalam MA63 mesti dihormati dan dilaksanakan dengan penuh keadilan.
“Isu 40 peratus ini bukan sekadar isu politik. Ia adalah soal hak, pembangunan dan masa depan rakyat Sabah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pemimpin politik Sabah, kerajaan negeri, wakil rakyat dan pertubuhan masyarakat supaya terus membawa suara rakyat secara konstruktif serta bersatu dalam memperjuangkan kepentingan Sabah.
“Kita boleh berbeza parti dan pandangan politik, tetapi apabila menyentuh hak Sabah dan masa depan anak cucu, kita seharusnya mempunyai satu pendirian bahawa hak Sabah mesti dihormati dan dilaksanakan,” katanya.
Beliau berharap Belanjawan 2027 membawa perkembangan positif kepada rakyat Sabah, khususnya dengan langkah jelas ke arah merealisasikan pembayaran 40 peratus hasil berkenaan.
“Harapan rakyat Sabah sangat jelas. Kita mahu melihat 40 peratus ini bergerak daripada meja rundingan kepada pelaksanaan sebenar. Biarlah Belanjawan 2027 menjadi titik permulaan kepada penyelesaian yang lebih kukuh, adil dan berkekalan untuk Sabah,” katanya.-BNN





