KOTA KINABALU: Dua premis makanan di Gunung Kinabalu, restoran Sutera Sanctuary Lodge dan Mountain Torq, berjaya memenuhi semua kriteria penilaian dan menerima pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS) Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).
Pengiktirafan itu dicapai menerusi Program Ekspedisi Puncak Bersih Makanan Selamat Peringkat Negeri Sabah 2026 yang berlangsung selama tiga hari dari 2 hingga 4 September lalu.
Program diketuai Ketua Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNS, Datin Ts. Doreen Girik Anthony Gorotud, dengan fokus meningkatkan kesedaran serta amalan keselamatan makanan di kawasan tertinggi negara.
Ekspedisi itu turut membabitkan pengendali makanan, malim gunung, porter dan pendaki menerusi bimbingan amali di dapur, taklimat serta hebahan berkaitan keselamatan makanan.
Selain itu, Pertandingan Explorace Keselamatan Makanan turut diadakan sempena Kempen Hari Keselamatan Makanan Sedunia (WFSD) 2026 sebagai pendekatan interaktif menyampaikan mesej kesihatan awam.
JKNS berharap pengiktirafan BeSS berkenaan menjadi pemangkin kepada kedua-dua premis untuk terus mengekalkan standard kebersihan dan keselamatan makanan yang tinggi demi kesejahteraan pendaki serta pengunjung.
Program itu turut mendapat kerjasama Taman-Taman Sabah dan Sutera Sanctuary Lodges, yang menurut JKNS amat penting dalam memastikan aspek kesihatan pengunjung serta keselamatan makanan di Gunung Kinabalu terus diberi keutamaan.-pr/BNN





