KOTA MARUDU: Bakat muda Sekolah Rendah Advent Goshen (SRA Goshen), Lara Andria Alexander, membuktikan keupayaannya apabila muncul Johan Kategori Sparring Bawah 10 Tahun pada SSTA National Open Invitational Taekwondo Championship 2026, baru-baru ini.

Lara mencapai kejayaan itu ketika mewakili Redskyfe Taekwondo Kota Marudu dalam kejohanan yang berlangsung di Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Kota Kinabalu, yang menghimpunkan atlet daripada pelbagai pasukan dan kelab taekwondo.

Turun dengan keyakinan serta semangat juang tinggi, Lara mempamerkan ketangkasan, disiplin dan kemahiran hasil latihan berterusan sehingga berjaya menewaskan saingan dalam kategori berkenaan. Kejuaraan itu menjadi pencapaian bermakna buat atlet muda berkenaan.

Setiausaha Sukan dan Permainan SRA Goshen, Limon Marting, berkata kejayaan Lara menjadi kebanggaan pihak sekolah, keluarga serta komuniti taekwondo Kota Marudu, selain membuktikan bakat muda dari daerah itu mampu menyerlah di pentas pertandingan lebih besar.

Katanya, pencapaian berkenaan bukan sekadar kemenangan dalam sukan, sebaliknya mencerminkan nilai disiplin, keberanian, ketekunan dan kesungguhan yang perlu dipupuk sejak usia persekolahan.

Kejayaan Lara turut didorong bimbingan jurulatihnya, Coach Safuan Fathy Amran, yang memberikan latihan, tunjuk ajar dan dorongan secara berterusan sebagai persiapan menghadapi kejohanan berkenaan.

Pihak SRA Goshen merakamkan tahniah kepada Lara atas pencapaian itu dan berharap kejayaannya menjadi pencetus semangat kepada murid lain untuk mengenal pasti, mengembangkan serta mengasah bakat masing-masing. Lebih penting, kejayaan itu menjadi permulaan kepada perjalanan Lara untuk terus melangkah ke pentas lebih besar dalam arena taekwondo.-Oleh Paul Ukau/BNN