KINABATANGAN: Penubuhan kepimpinan penaja Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Kinabatangan dilihat mencerminkan kesepakatan pemimpin akar umbi dari tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen berkenaan.

Ketua Penerangan Penaja PGRS Bahagian Kinabatangan, Aksyah Haji Nasrah, berkata barisan jawatankuasa penaja yang dimuktamadkan menerusi mesyuarat pertama parti itu mengambil kira pandangan, suara dan aspirasi pemimpin utama DUN Sukau, Kuamut dan Lamag.

Beliau berkata, pendekatan berkenaan menunjukkan PGRS Kinabatangan bermula dengan asas muafakat yang utuh, sekali gus mencerminkan kesediaan semua pihak bergerak bersama di bawah satu kepimpinan.

Katanya, kebijaksanaan Ketua Bahagian Penaja PGRS Kinabatangan, Datuk Masiung Banah, turut terserlah menerusi usaha memastikan komposisi kepimpinan diagihkan secara adil, seimbang dan saksama antara ketiga-tiga DUN.

“Tiada DUN yang dianaktirikan, sebaliknya semua bergerak sebagai satu ketumbukan yang padu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Aksyah berkata, Masiung turut menggariskan pendekatan pengurusan baharu yang tidak lagi terikat dengan kaedah politik lama atau stereotaip, sebaliknya memberi penekanan kepada sistem pentadbiran dan gerak kerja jentera yang lebih dinamik serta telus.

Menurutnya, pendekatan berkenaan turut menekankan kerja berasaskan petunjuk prestasi utama (KPI), kepantasan bertindak dan usaha mengurangkan birokrasi lapuk bagi memastikan jentera parti lebih berkesan.

Beliau berkata, struktur baharu itu penting bagi memastikan PGRS Kinabatangan kekal relevan dan segar, selain mampu memenuhi aspirasi rakyat yang mahukan pembaharuan.

Dalam pada itu, Aksyah berkata, amanat Masiung kepada kepimpinan baharu menegaskan bahawa watikah dan jawatan yang diberikan bukanlah lencana kemegahan, sebaliknya amanah serta tanggungjawab yang perlu dipikul dengan penuh integriti.

Katanya, seluruh jentera PGRS Kinabatangan perlu bergerak aktif sebagai wadah politik yang menyantuni rakyat, mendengar denyut nadi masyarakat serta membantu menyelesaikan isu setempat.

Beliau berkata, jentera parti juga perlu memastikan manfaat Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 dapat diterjemahkan secara langsung kepada penduduk, khususnya masyarakat luar bandar di Kinabatangan.

Aksyah turut mengucapkan tahniah kepada semua kepimpinan penaja yang dilantik serta berharap segala hasrat dan amanat yang disampaikan Masiung dapat direalisasikan demi memperkukuh gerak kerja PGRS di Kinabatangan.-pr/BNN