KOTA KINABALU: Bekalan gas Sabah dijangka meningkat hampir dua kali ganda daripada 700 juta kaki padu standard sehari (MMscfd) kepada 1,350 MMscfd menjelang 2030, didorong oleh tujuh projek pembangunan luar pesisir melibatkan dua syarikat minyak antarabangsa dan empat syarikat minyak Malaysia dalam tempoh empat tahun akan datang.
Projek berkenaan, termasuk pembangunan empat medan gas baharu, merupakan sebahagian daripada rancangan jangka panjang negeri bagi memenuhi peningkatan permintaan tenaga dan perindustrian.
Menyambut baik perkembangan terbaharu itu, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata ia membuktikan hubungan kerjasama erat antara PETRONAS dan Kerajaan Negeri dalam usaha berterusan membangunkan sumber minyak dan gas di Sabah.
“Strategi ini menyediakan pelan pelaksanaan yang jelas bagi menjamin bekalan gas yang diperlukan untuk menyokong aspirasi perindustrian Sabah,” katanya selepas menyaksikan penyerahan laporan daripada SMJ Energy dan PETRONAS kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zainudin Aman di Hotel Hilton, hari ini.
Laporan Pelan Bekalan dan Penghantaran Gas Jangka Panjang 2025 dan Pelan Pembangunan Gas Pantai Timur Sabah menggariskan strategi penghantaran bekalan gas susulan kajian oleh Pasukan Petugas Bersama Strategi Gas Sabah, hasil kerjasama antara agensi-agensi negeri yang diterajui SMJ Energy bersama PETRONAS.
Berdasarkan laporan berkenaan, permintaan terhadap bekalan gas tambahan itu akan didorong oleh loji-loji janakuasa baharu serta kemudahan gas asli cecair terapung ketiga PETRONAS (PFLNG3).
Ia turut merangkumi pelaburan baharu dalam sektor pembuatan di sepanjang koridor Pantai Barat, bermula dari Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), melalui Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis hingga ke Taman Perindustrian Minyak dan Gas (SOGIP) di Sipitang dan terminal gas di Labuan.
Sementara itu, Pelan Pembangunan Gas Pantai Timur Sabah mengesahkan bahawa kelompok medan gas Mutiara di luar pesisir Sandakan boleh dibangunkan bagi membekalkan gas kepada sebuah loji janakuasa gas baharu di Taman Perindustrian Sawit Kinabalu Sandakan serta menukar stesen janakuasa Sabah Electricity di Batu Sapi daripada penggunaan diesel kepada turbin berasaskan gas.
Buat pertama kali, Pantai Timur akan dapat menjana bekalan elektrik berasaskan gas sendiri tanpa bergantung kepada penghantaran bekalan dari Pantai Barat.
Ketua Menteri berkata strategi itu juga akan membuka peluang kepada pembangunan industri berasaskan gas di Sandakan dan kawasan Pantai Timur secara keseluruhannya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PETRONAS kerana menerajui kerja-kerja teknikal dengan kerjasama SMJ Energy (SMJE), Sabah Energy Corporation (SEC), Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, yang juga Pengerusi SMJ Energy dan Ketua Pegawai Operasi merangkap Naib Presiden Eksekutif SMJ Energy Datuk Albert Lo.-pr/BNN





