KENINGAU:Komitmen terhadap pembangunan golongan belia terus dizahirkan menerusi penganjuran Kejohanan Piala Datuk Azman Hj Ruslan (DAR Cup) yang menghimpunkan 35 pasukan dengan penyertaan kira-kira 350 pemain di Padang Kampung Baginda, di sini, hari ini.

Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Keningau, Datuk Azman Haji Ruslan, berkata kejohanan anjuran Kelab Bolasepak Baginda Village FC itu bukan sekadar medan pertandingan, malah mampu memperkukuh semangat kesukanan dan mencungkil bakat baharu dalam kalangan anak muda.

Kejohanan itu turut membabitkan lapan pengadil berlesen Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Dalam amanatnya ketika merasmikan pelancaran DAR Cup, Azman berkata golongan pemuda dan beliawanis adalah aset penting yang akan mencorakkan hala tuju masa depan negara, khususnya Sabah.

Menurutnya, penglibatan anak muda dalam aktiviti positif seperti sukan bukan sahaja dapat membina disiplin dan semangat berpasukan, malah membentuk generasi yang lebih berdaya tahan serta bertanggungjawab terhadap masyarakat.

Beliau yang juga Pengerusi Sabah Net Sdn Bhd, menyeru golongan muda supaya memanfaatkan masa dengan aktiviti yang memberi nilai tambah kepada diri, keluarga dan komuniti.

Pada masa sama, katanya, golongan berkenaan perlu menjauhi gejala negatif yang boleh menjejaskan masa depan mereka.

Azman berkata, penganjuran DAR Cup oleh Baginda Village FC turut mencerminkan peranan penting pertubuhan sukan di peringkat akar umbi dalam menyediakan ruang kepada belia untuk berkembang, berinteraksi dan membina jaringan persaudaraan melalui aktiviti kesukanan.

Beliau turut merakamkan tahniah dan syabas kepada Kelab Bolasepak Baginda Village FC atas usaha menganjurkan kejohanan berkenaan.

Katanya, kejohanan itu bukan sahaja menjadi platform pertandingan bola sepak, tetapi turut berperanan sebagai jambatan yang menyatukan komuniti serta menyemarakkan budaya sukan dalam kalangan generasi muda.-pr/BNN