KENINGAU:  Seramai 108 alumni Maktab Perguruan Kent Tuaran dari seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan berhimpun pada Majlis Reunion Kent 2026 di Bandukan Resort, di sini, dalam suasana penuh kemesraan dan nostalgia.

Daerah Keningau menjadi tuan rumah bersama alumni dari Tambunan, Tenom dan Nabawan, dengan penyertaan bekas guru pelatih dari Pantai Barat Selatan dan Utara, Sandakan, Tawau, Pedalaman Bawah serta Labuan.

Pengerusi program, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata reunion berkenaan bukan sekadar pertemuan semula, sebaliknya ruang menghidupkan kembali kenangan, mengeratkan silaturahim dan menghargai persahabatan yang terjalin sejak zaman di Maktab Perguruan Kent Tuaran.

“Reunion ini bukan sekadar makan bersama, bergambar dan bersalaman, tetapi pertemuan semula sebuah keluarga besar yang pernah bersama di Maktab Perguruan Kent Tuaran,” katanya pada

Majlis Reunion Kent 2026, semalam.

Beliau berkata, walaupun ada alumni yang tidak pernah bertemu sejak meninggalkan maktab puluhan tahun lalu, pertemuan itu membuktikan hubungan yang terjalin di Kent mampu bertahan merentasi masa dan jarak.

“Bertahun-tahun kita membawa haluan masing-masing. Namun, hari ini Allah menemukan kita kembali. Kita mungkin telah meninggalkan Kent, tetapi Kent tidak pernah meninggalkan kita,” katanya.

Yazid berkata, semakin meningkat usia, semakin seseorang menghargai nilai persahabatan dan masa yang pernah dilalui bersama.

“Masa tidak boleh dibeli dan kenangan tidak boleh diulang. Sebab itu pertemuan seperti ini amat berharga. Jangan kita tunggu puluhan tahun lagi untuk bertemu,” katanya.

Beliau turut menggalakkan alumni terus berhubung, bertanya khabar dan saling menziarahi bagi memastikan semangat kekeluargaan yang dibina menerusi Reunion Kent tidak terhenti selepas majlis berakhir.

Pelbagai aktiviti turut diadakan, termasuk pertukaran hadiah, persembahan koir, cabutan nama bertuah, persembahan peserta dan tayangan montaj ‘Kent, Sepanjang Jalan Kenangan’ yang mengimbau perjalanan serta persahabatan alumni.

Majlis itu turut diserikan pertandingan Busana Pilihan Terbaik yang dimenangi Rahman Jafar bagi kategori lelaki dan Rosemary Jamari bagi kategori perempuan.

Yazid turut merakamkan penghargaan kepada semua alumni, khususnya mereka yang datang dari jauh, serta ahli jawatankuasa pelaksana, Pengurus Bandukan Resort dan pasukan RELA atas sumbangan, sokongan dan kerjasama menjayakan program berkenaan.

“Dulu kita sahabat di Kent, hari ini kita keluarga Reunion Kent. Selamanya kita sahabat,” katanya.

Beliau berharap Reunion Kent dapat diteruskan secara berkala dengan penyertaan lebih ramai alumni dari seluruh Sabah dan Labuan, sekali gus memastikan hubungan serta semangat kekeluargaan warga Kent terus hidup.-pr/BNN