KENINGAU: Karnival Jiwa Etnik Borneo (KAJEBO) 2026 disifatkan sebagai inisiatif bermakna dalam memelihara dan memartabatkan warisan budaya etnik Borneo yang semakin berdepan cabaran arus pemodenan.
Pengerusi Sabah NET Sdn Bhd , Datuk Azman Haji Ruslan, berkata usaha penganjur KAJEBO dalam memastikan keunikan budaya, adat resam dan tradisi masyarakat Borneo terus dipelihara wajar dipuji.

Beliau berkata, inisiatif seumpama itu penting bagi memastikan warisan budaya masyarakat Borneo terus diwarisi oleh generasi akan datang, sekali gus mengelakkan keunikan berkenaan daripada terhakis akibat perubahan zaman.
“Usaha seperti KAJEBO adalah murni dan amat bermakna bagi memastikan keunikan budaya, adat resam serta tradisi masyarakat Borneo terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang,” kata Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Keningan.
Beliau turut berharap program seumpama itu dapat diteruskan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya golongan belia, mengenai kepentingan menghargai warisan budaya sebagai lambang identiti dan kebanggaan masyarakat Borneo.
Azman berkata demikian ketika menghadiri Majlis Perasmian KAJEBO 2026 yang berlangsung selama tiga hari dengan pelbagai acara mengetengahkan kebudayaan, kesenian, sukan dan warisan masyarakat.
Antara pengisian karnival itu ialah Showcase Amal KAJEBO, Santai Budaya Borneo, sambutan Hari Sukan Negara, Miss National Cultural Malaysia, Traditional Food Bazaar, pameran kraftangan serta pelbagai aktiviti lain.
Program berkenaan turut memberi peluang kepada pengunjung untuk mengenali dan menghayati kepelbagaian budaya etnik Borneo, selain menggalakkan penghargaan terhadap warisan yang menjadi identiti masyarakat di rantau ini.
Turut hadir ialah Pembantu Pegawai Daerah Keningau (Pentadbiran), Christine Tiffany Charles Lohindun; Naib Ketua Pemuda PGRS Keningau, Daniel; dan Pengerusi Penganjur KAJEBO 2026, Syahril Amin.-pr/BNN




