KOTA KINABALU: Kelewatan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A tidak berpunca daripada satu pihak sahaja, sebaliknya membabitkan pelbagai cabaran teknikal, pentadbiran dan kewangan, kata Ketua Merinyu Projek Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Salleh Said Keruak.

Beliau berkata, justeru tidak adil jika Kerajaan Negeri Sabah dipersalahkan sepenuhnya atas kelewatan projek berkenaan yang memerlukan kerjasama semua pihak terbabit untuk diselesaikan.

“Lebih 70 peratus projek ini membabitkan pelebaran jalan Persekutuan sedia ada daripada dua kepada empat lorong. Kerja ini bukan mudah kerana melibatkan pengambilan tanah, bangunan, kawasan penempatan penduduk serta pemindahan utiliti,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Salleh berkata, antara punca utama kelewatan ialah perubahan reka bentuk asal yang tidak sepenuhnya menepati keadaan sebenar di tapak, sekali gus memerlukan penelitian dan penyelarasan pelbagai perunding serta pakar teknikal yang dilantik Kementerian Kerja Raya (KKR).

Beliau berkata, setiap perubahan reka bentuk boleh membabitkan pertambahan kos yang memerlukan penilaian teknikal serta kelulusan kewangan daripada KKR dan Kementerian Kewangan (MOF).

Katanya, proses kelulusan yang panjang turut menjejaskan kelancaran pelaksanaan projek berkenaan.

Bagi mengelakkan kelewatan berulang, Salleh mencadangkan supaya KKR dan MOF menyediakan mekanisme kelulusan yang lebih cepat dan jelas, khususnya berkaitan Arahan Perubahan Kerja (VO) serta pelarasan had kewangan.

“ Mekanisme ini wajar dimasukkan dalam kontrak asal atau dimuktamadkan melalui Perjanjian Tambahan,” katanya.

Beliau menegaskan, projek berkenaan membabitkan tanggungjawab bersama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, perunding, kontraktor dan syarikat utiliti.

Sehubungan itu, katanya, setiap pihak perlu dinilai berdasarkan bidang kuasa dan tanggungjawab masing-masing, bukannya menjadikan satu pihak sebagai sasaran kesalahan.

“Rakyat Sabah tidak memerlukan budaya saling menyalahkan. Mereka mahu melihat lebuh raya ini disiapkan.

“Apa yang diperlukan ialah kerjasama lebih erat, keputusan lebih pantas dan kelulusan yang lebih cekap,” katanya.

Salleh berkata, keutamaan semua pihak perlu jelas, iaitu mengurangkan kelewatan, mempercepat pelaksanaan dan memastikan projek berkenaan disiapkan demi kepentingan rakyat Sabah.-pr/BNN