LIKAS: Parti Bersatu Sabah (PBS) bercadang menubuhkan enam biro baharu bagi memperkukuh struktur organisasi, PBS cadang tubuh enam biro baharu perkukuh organisasi membangunkan kepimpinan serta memastikan gerak kerja parti lebih tersusun dan berkesan di semua peringkat.
Presidennya, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, berkata cadangan itu bertujuan memperkukuh keupayaan parti melaksanakan tanggungjawab kepada ahli dan masyarakat, selain mempersiapkan kepimpinan PBS menghadapi cabaran politik semasa.
Enam biro dicadangkan ialah Biro Pembangunan Kepimpinan; Biro Pembangunan Belia dan Beliawanis; Biro Pendidikan dan Latihan Kemahiran; Biro Ekonomi dan Keusahawanan; Biro Disiplin dan Tatatertib; serta Biro Kebajikan dan Bencana Alam.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Upacara Angkat Sumpah Jawatan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PBS bagi sesi 2026-2029 di Dewan Hakka, di sini, semalam.
Katanya, fungsi, skop tugas dan pelantikan pengerusi setiap biro akan diperhalusi bersama Biro Politik bagi memastikan penubuhannya selaras dengan keperluan serta hala tuju perjuangan parti.
“Setiap biro yang ditubuhkan mesti aktif, mempunyai tugas dan perancangan program yang jelas serta diselaraskan dengan kepimpinan bahagian dan pergerakan parti. Kita mahu setiap biro bukan sekadar wujud dalam struktur organisasi, tetapi mampu melaksanakan program yang memberi manfaat kepada parti, ahli serta rakyat,” katanya.
Dr Joachim berkata, Biro Disiplin dan Tatatertib penting bagi memastikan disiplin serta integriti kepimpinan dan ahli sentiasa terpelihara, dengan setiap isu ditangani secara adil, berhemah dan berpandukan peraturan parti tanpa pilih kasih.
Beliau turut mengingatkan barisan kepimpinan supaya memahami tanggungjawab sebagai pemimpin, menjaga tingkah laku dan menunjukkan teladan baik kepada ahli serta masyarakat.
Katanya, jawatan dalam parti bukan keistimewaan, sebaliknya amanah yang menuntut pengorbanan masa, tenaga dan kepentingan peribadi demi rakyat, manakala Pemuda dan Wanita perlu berperanan sebagai pelapis perjuangan PBS.
Dalam pada itu, beliau menyeru kepimpinan parti mengetepikan perbezaan yang boleh menjejaskan perpaduan dan menjadikan kepelbagaian pandangan sebagai kekuatan dalam membuat keputusan.
Menurutnya, setiap pandangan perlu dihargai demi kebaikan parti secara keseluruhannya.
Menyentuh kedudukan PBS dalam landskap politik semasa, Dr Joachim menegaskan parti itu perlu terus memainkan peranan sebagai antara parti pengasas Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Kerjasama erat antara parti komponen gabungan itu penting bagi memperkukuh kestabilan Kerajaan Negeri serta meningkatkan keupayaan Sabah memperjuangkan haknya di peringkat Persekutuan.
Beliau turut menyeru pemimpin PBS supaya lebih aktif menerangkan perjuangan parti, kedudukannya dalam GRS dan usaha pembangunan Kerajaan Negeri kepada rakyat, selain mengamalkan budaya politik matang berlandaskan prinsip Walk the Talk, iaitu setiap komitmen perlu disusuli tindakan berkesan.
Mengakhiri amanat, beliau mengingatkan semua AMT serta barisan EXCO Pemuda dan Wanita supaya menghayati ikrar, memelihara amanah dan menjaga nama baik parti demi masa depan Sabah serta generasi akan datang.-pr/BNN





