KOTA KINABALU: Peruntukan RM18.7 bilion kepada Sabah menerusi Belanjawan 2027 perlu diagihkan secara bersasar, terutama ke daerah miskin yang masih berdepan masalah bekalan air, elektrik dan jalan raya.

Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun, berkata peningkatan RM1.1 bilion berbanding peruntukan RM17.6 bilion pada 2026 adalah satu perkembangan baik. Namun, keutamaan perlu diberikan kepada kawasan yang paling memerlukan supaya peruntukan itu benar-benar membawa perubahan kepada kehidupan rakyat.

“Kalau kita mahu menyelesaikan masalah kemiskinan, peruntukan mesti sampai ke tempat yang benar-benar memerlukan. Keperluan setiap daerah tidak sama dan penyelesaiannya juga perlu bersesuaian dengan keadaan setempat,” katanya.

Azizah berkata, lapan daripada 10 daerah yang pernah dikenal pasti mempunyai kadar kemiskinan tegar tertinggi di Malaysia terletak di Sabah. Daerah berkenaan ialah Tongod, Beluran, Pitas, Kinabatangan, Kota Marudu, Tuaran, Ranau dan Lahad Datu.

Beliau berkata, kemudahan air, elektrik dan jalan raya perlu diselesaikan secara menyeluruh kerana kekurangan infrastruktur asas turut menjejaskan kegiatan ekonomi, khususnya kemampuan penduduk luar bandar mengeluarkan dan memasarkan hasil pertanian serta perikanan.

“Ketiga-tiga perkara ini mesti diselesaikan sebaik mungkin. Jika projek lambat dilaksanakan kerana birokrasi yang panjang, kos pembangunan boleh meningkat dan rakyat terus menanggung kesannya,” katanya.

Bagi memastikan bantuan sampai kepada penduduk yang memerlukan, IDS mencadangkan antara 10 hingga 15 peratus daripada Pemberian Khas interim RM1.5 bilion di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diperuntukkan sebagai Dana Pembangunan Komuniti Khas untuk daerah miskin.

Menurut Azizah, pengagihan dana itu perlu berpandukan data dan kajian di lapangan kerana punca kemiskinan berbeza mengikut daerah, termasuk kekurangan infrastruktur, kesukaran akses ke pasaran serta kebergantungan nelayan dan pekebun kecil kepada orang tengah.

Katanya, IDS sedang menjalankan pemetaan kemiskinan di Pitas dan Kota Marudu bagi mengenal pasti lokasi serta profil isi rumah miskin, selain meneliti kekangan ekonomi yang dihadapi penduduk. Kajian itu disasarkan siap tahun depan.-pr/BNN