KOTA KINABALU: Datuk Kenny Chua Teck Ho dilantik sebagai Pengerusi SOGIP Ventures Sdn Bhd, dengan tanggungjawab menerajui kepimpinan dan hala tuju strategik syarikat itu bagi memperluas peluang perniagaan, menarik pelaburan serta memperkukuh pembangunan industri minyak dan gas di Sabah.

Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC) dalam kenyataan mengucapkan tahniah atas pelantikan itu dan menyatakan keyakinan pengalaman, kepimpinan serta visi strategik Kenny mampu memperkukuh kedudukan SOGIP Ventures sebagai entiti komersial yang berdaya saing.

Mengulas pelantikannya, Kenny berkata beliau menerima tanggungjawab itu dengan penuh rasa hormat, rendah hati dan kesedaran terhadap amanah besar untuk menyumbang kepada pembangunan syarikat serta ekonomi Sabah.

Beliau berkata SOGIP Ventures mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai entiti komersial penting dalam ekosistem minyak dan gas serta tenaga negeri ini.

“Saya yakin dengan hala tuju strategik yang jelas, tadbir urus korporat yang kukuh, pengurusan berkesan dan kerjasama rapat dengan pemain industri, syarikat ini mampu menjadi organisasi yang berdaya saing, mampan dari segi kewangan dan dihormati,” katanya.

Kenny berkata hala tuju SOGIP Ventures perlu diselaraskan dengan aspirasi pembangunan kerajaan negeri menerusi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030, termasuk menterjemahkan aspirasi Sabah First kepada tindakan dan hasil nyata.

Beliau menggariskan tujuh keutamaan strategik, antaranya memperkukuh tadbir urus korporat, mengembangkan peluang perniagaan, memperkasa industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) Sabah serta membangunkan modal insan tempatan.

Keutamaan lain termasuk meneroka peluang tenaga baharu, mempelbagaikan aktiviti perniagaan, memperkukuh SOGIP sebagai ekosistem perindustrian dan pelaburan serta memastikan kelestarian kewangan syarikat.

Beliau turut mahu meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian nilai industri minyak dan gas melalui kerjasama dengan PETRONAS serta pemain industri, selain memperluas peluang pekerjaan, latihan teknikal dan pemindahan teknologi kepada rakyat Sabah.

“Saya mahu melihat lebih banyak syarikat tempatan Sabah diberi peluang menyertai projek minyak dan gas berskala besar, lebih ramai rakyat tempatan dilengkapi kemahiran teknikal khusus dan lebih ramai anak muda Sabah membina kerjaya bermakna dalam industri ini,” katanya.

Beliau berharap SOGIP Ventures dapat muncul sebagai syarikat milik kerajaan negeri yang kukuh, berdaya saing dan mampan, selain memberi sumbangan bermakna kepada pertumbuhan ekonomi serta pembangunan industri minyak dan gas Sabah.-pr/BNN