KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah digesa menyediakan peruntukan khas pendidikan Kecerdasan Buatan (AI) dalam Belanjawan Negeri 2027 bagi melahirkan generasi muda berkemahiran tinggi, berdaya saing dan bersedia menghadapi perubahan ekonomi digital.

Pengerusi Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah, David Chan, berkata pelaburan pendidikan AI perlu diberi keutamaan bagi memastikan Sabah tidak ketinggalan dalam perkembangan teknologi global dan perubahan landskap pekerjaan.

Beliau berkata, AI kini mempengaruhi pelbagai sektor termasuk pertanian, pelancongan, pembuatan, kesihatan, pendidikan dan pentadbiran, sekali gus menuntut generasi muda menguasai kemahiran teknologi yang relevan dengan keperluan industri.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan negeri mewujudkan Dana Khas Pendidikan AI dan Pembangunan Kemahiran Digital bagi pelajar universiti, kolej, politeknik serta institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menurutnya, dana itu boleh digunakan untuk menyediakan makmal AI, latihan kemahiran digital, kursus pensijilan profesional, penyelidikan, biasiswa serta kerjasama dengan syarikat teknologi.

Katanya, pembangunan pendidikan AI juga perlu diperluaskan ke kawasan luar bandar dan pedalaman, khususnya bagi membantu pelajar daripada keluarga B40 mendapatkan akses kepada kemudahan digital dan peluang pembelajaran yang setara.

Beliau berkata, usaha itu penting bagi mengelakkan jurang digital semakin melebar, selain memastikan anak Sabah tidak sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi mampu muncul sebagai pencipta inovasi, penyelidik, pembangun teknologi dan usahawan AI.

Chan berkata, penguasaan AI turut berpotensi meningkatkan produktiviti sektor ekonomi utama Sabah termasuk pertanian, pelancongan, pembuatan, tenaga boleh baharu serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), menerusi pengurangan kos operasi, pembaziran dan peningkatan kecekapan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pembangunan teknologi itu perlu diseimbangkan dengan aspek etika, keselamatan data dan tanggungjawab sosial, selain memperkukuh kreativiti, pemikiran kritis, empati serta integriti dalam kalangan generasi muda.

Beliau turut menggesa kerajaan negeri memperkukuh kerjasama dengan universiti, institusi penyelidikan, industri dan syarikat teknologi bagi merangka pelan pendidikan AI jangka panjang yang memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.

“Pelaburan dalam pendidikan AI hari ini adalah pelaburan untuk kemakmuran Sabah pada masa hadapan. Jangan biarkan anak-anak Sabah menjadi penonton kepada revolusi teknologi dunia, sebaliknya berikan mereka peluang menjadi sebahagian daripada pencipta masa depan,” katanya.-pr/BNN