KOTA KINABALU: BIGSABAH Sale menyasarkan kehadiran 120,000 pengunjung dan penyertaan 900 vendor pada 2027, selain mempergiat usaha menghubungkan perniagaan Sabah dengan pasaran serantau dan antarabangsa.

Acara itu dijadual berlangsung pada 8 hingga 10 Oktober 2027 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), bersempena Visit Sabah 2027, dengan sasaran 700 reruai, sekurang-kurangnya 50 prospek perniagaan serta penyertaan antarabangsa yang lebih meluas.

Pengerusi penganjur BIGSABAH Sale merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SICC, Datuk Dr Hajah Rosmawati Haji Lasuki berkata, penganjuran tahun depan akan memberi penekanan lebih besar kepada komponen perdagangan dan aktiviti perniagaan antara syarikat (B2B).

Katanya, usaha itu akan merangkumi penglibatan pembeli berpotensi, pemadanan perniagaan yang lebih tersusun serta peluang pasaran yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada peserta.

BIGSABAH Sale 2026 yang berlangsung pada 30 Oktober hingga 1 November lalu di SICC berjaya mencatatkan 27 prospek perniagaan dan lapan padanan strategik melibatkan peserta dari Wilayah Jilin, Thailand, Filipina, Korea Selatan dan Pahang.

Selain itu, dua memorandum persefahaman (MoU) turut dimeterai melibatkan Dewan Perniagaan Malaysia-China Cawangan Sabah dan organisasi perniagaan dari Wilayah Jilin.

Rosmawati berkata, pencapaian itu menunjukkan BIGSABAH Sale berpotensi berkembang melangkaui pameran jualan pengguna, sebaliknya menjadi platform bagi membina kerjasama perniagaan serta membuka peluang menembusi pasaran baharu.

Penganjuran tahun ini merekodkan 101,439 pengunjung, meningkat 26 peratus berbanding 80,615 pengunjung pada 2025, dengan penyertaan 818 vendor menerusi 603 reruai.

Penyertaan turut melibatkan Sabah, lapan negeri dan wilayah persekutuan lain di Malaysia serta 11 negara.

Acara itu dianggarkan menjana impak ekonomi sebanyak RM2.41 juta, termasuk RM1.47 juta perbelanjaan baharu, manakala peserta pameran dan pembeli jemputan dari luar Sabah menyumbang sebanyak 752 malam penginapan hotel.

Selain aktiviti perdagangan, BIGSABAH Sale turut menampilkan pelbagai pengisian termasuk e-sukan, pertunjukan fesyen, bengkel profesional, Jualan Rahmah, Big Bad Wolf Books, Cult Car Show serta aktiviti untuk keluarga.

Rosmawati turut menghargai peranan media dalam memperluaskan publisiti acara berkenaan yang menerima 37 laporan berita menerusi media cetak dan dalam talian dalam bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Cina dan Korea, selain liputan televisyen, radio serta media sosial.

Usaha mempromosikan BIGSABAH Sale menerusi media sosial turut membuahkan hasil apabila kempen TikTok acara itu merekodkan lebih 123,000 impresi, sekali gus memperluaskan jangkauan promosi dan meningkatkan pendedahan kepada orang ramai. -BNN