KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata program Explore Sabah berpotensi menjadi platform memperluas pengenalan budaya, gastronomi etnik, kraftangan dan produk tempatan kepada pelawat dari dalam dan luar negara.

“Bagi saya, Explore Sabah bukan sekadar satu inisiatif mempromosikan destinasi pelancongan. Lebih penting, ia merupakan usaha strategik untuk mengangkat keunikan Sabah, memperkenalkan identiti masyarakatnya dan menghubungkan kekayaan khazanah negeri ini dengan peluang ekonomi yang lebih luas,” katanya.

Beliau mengucapkan tahniah kepada Gabungan Muafakat Persatuan Etnik Bumiputera Negeri Sabah atau MAGEBS dan MSH Mega Tech Sdn Bhd atas inisiatif memperkenalkan EXPLORE SABAH, sebuah platform yang menggabungkan kekayaan khazanah budaya, pelancongan, teknologi digital dan keusahawanan tempatan.

“Saya berharap inisiatif ini akan berkembang secara berterusan dengan melibatkan lebih banyak komuniti dan daerah supaya keunikan Sabah dapat diketengahkan secara menyeluruh,” katanya pada majlis pelancaran program Explore Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai.

Ketua Menteri berkata cabaran pada masa kini adalah untuk memastikan kekayaan khazanah Sabah tidak sekadar dipelihara, tetapi turut dimanfaatkan sebagai sumber peluang pendidikan, pekerjaan, keusahawanan dan penjanaan pendapatan rakyat.

“Kita perlu bergerak lebih jauh dengan menghubungkan khazanah budaya dengan inovasi, pelancongan dengan ekonomi komuniti, serta produk tempatan dengan pasaran yang lebih luas,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga mahu sektor pelancongan bukan sahaja meningkatkan jumlah kunjungan pelawat, tetapi turut membawa manfaat ekonomi yang lebih meluas kepada rakyat, khususnya usahawan kecil, peniaga tempatan dan komuniti luar bandar.

“Ini kerana Sabah memiliki tarikan pelancongan yang amat pelbagai, daripada keindahan alam semula jadi, pulau-pulau yang menakjubkan hinggalah kepada kekayaan budaya, makanan tradisional, kraftangan dan pengalaman komuniti.

“Bayangkan pelawat yang datang ke Sabah bukan sekadar menikmati keindahan alamnya, tetapi turut mengenali makanan tradisional, membeli kraftangan tempatan, mengunjungi tarikan budaya dan menyokong perniagaan komuniti.

“Dengan pendekatan ini, pengalaman pelancongan menjadi lebih bermakna, sementara perbelanjaan pelawat dapat membuka peluang pendapatan kepada lebih ramai rakyat tempatan.

“Inilah pendekatan yang perlu kita perkukuh, iaitu menjadikan pelancongan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi yang turut melibatkan masyarakat di peringkat akar umbi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata transformasi digital yang menjadi keperluan masa kini untuk meningkatkan daya saing dan membuka akses kepada peluang pasaran yang lebih luas tidak seharusnya hanya dinikmati oleh syarikat besar atau perniagaan yang sudah maju.

Usahawan kecil, pengusaha kraftangan, penyedia makanan, pengusaha penginapan desa dan komuniti luar bandar juga perlu diberikan peluang untuk turut serta, katanya.

Beliau menyambut baik inisiatif MAGEBS bersama rakan teknologinya, MSH Mega Tech Sdn Bhd memperkenalkan MAGEBS (SABAH) Smart Card sebagai salah satu pemudah cara digital bagi menyokong pelaksanaan Explore Sabah.

“Saya melihat pendekatan ini sebagai satu usaha yang selari dengan keperluan semasa. Explore Sabah memperkenalkan keunikan dan pengalaman meneroka negeri ini, manakala Smart Card berpotensi menghubungkan pengalaman tersebut dengan produk, perkhidmatan dan perniagaan tempatan.

“Saya berharap platform ini dapat membantu meningkatkan keterlihatan perniagaan tempatan, memperluas penyertaan usahawan dan membuka ruang kepada penerokaan pasaran baharu,” katanya.

Ketua Menteri turut menggesa persatuan-persatuan etnik untuk meneruskan usaha memelihara adat, bahasa, seni dan khazanah masing-masing agar dapat diwarisi oleh generasi masa kini dan akan datang.

“Kepada para usahawan dan peniaga, teruskan berinovasi, meningkatkan mutu produk dan perkhidmatan serta berani meneroka pasaran baharu. Kepada golongan belia, manfaatkan teknologi sebagai wadah membina kemahiran, mencetuskan idea dan mencipta peluang ekonomi,” katanya.-pr/BNN