KOTA KINABALU: Parti Cinta Sabah (PCS) menyatakan bahawa Datuk Mohamaddin Ketapi dari Warisan telah sekali lagi memperbodohkan diri dan menyeru para pengundi untuk menolak beliau kerana telah terbukti bahawa beliau tidak layak menjadi pemimpin.

PCS juga menyeru pengundi untuk turut menolak parti Mohamaddin yang menamakan beliau sebagai calon kerana kemenangan bagi beliau akan menjadi liabiliti besar buat Sabah.

“Berapa kali dia nak memperbodohkan diri? Rakyat harus menolak orang sebegini bersama-sama dengan partinya, Warisan,” ujar Ketua Pemuda PCS, Ag Zakariah Hj Ibrahim.

Beliau turut menambah bahawa Mohamaddin telah hilang kredibiliti dan melepaskan peluangnya untuk menang di Segama.

Setelah dikecam hebat oleh pelbagai pihak kerana memperlekehkan insiden di Tanduo pada 2013 dan mengatakan bahawa pertempuran antara 235 militan daripada Selatan Filipina dengan pasukan keselamatan Malaysia sekadar “sandiwara”, Mohamaddin kemudiannya dilaporkan mendakwa bahawa pihak lawan akan mengambil pendekatan memalsukan jangkitan COVID-19 untuk menakutkan orang ramai daripada mengundi pada hari pengundian Sabtu ini.

Di dalam sebuah video yang telah viral, Ahli Parlimen Silam itu dilihat mengatakan bahawa lawan Warisan dijangka akan menggunakan taktik dengan membayar orang untuk “pengsan” di pusat mengundi selepas kononnya dijangkiti COVID-19.

“Pada hari pengundian, mereka akan membayar orang untuk pengsan kerana mereka ada COVID-19”.

“Ambulans akan datang dan para pengundi lain akan lari ketakutan. Seterusnya kita dapat tahu yang mereka membayar orang untuk berpura-pura”, kata Mohamaddin dalam video itu.

Beliau juga menyuruh penonton untuk “pijak dan sepak” mereka, sambil menambah bahawa taktik ini digunakan untuk menakutkan pengundi Cina.

Tahun lalu, Mohamaddin, bekas Menteri Pelancongan, Keseniaan dan Kebudayaan, memalukan nama Malaysia di mata dunia apabila mengeluarkan kenyataan bahawa golongan homoseksual tidak wujud di negara ini, setelah ditanya sama ada Malaysia adalah destinasi yang selamat untuk komuniti LGBTQ.

Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal terpaksa membuat permohonan maaf atas kenyataan Mohamaddin mengenai pencerobohan Tanduo.- pr/BNN