KUALA PENYU: Penjawat Awam Persekutuan khususnya guru-guru perlu mengelak terlibat dalam politik terutama menyokong parti pembangkang, kata seorang pesara kanan kerajaan.

Beliau berkata, mereka yang berstatus pegawai harus menggunakan kebijaksanaan dalam membuat keputusan dan tidak terjebak dengan politik pembangkang dengan memburuk-burukkan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, penjawat awam perlu sedar dan maklum mereka terikat dengan peraturan yang ketat yang mesti dipatuhi.

Namun beliau tidak dinafikan terdapat penjawat awam persekutuan termasuk yang berpangkat pegawai dan pendidik terlibat secara terang-terang dalam politik.

“Ada dikalangan mereka turut memegang jawatan dalam sesebuah parti politik sama ada di peringkat cadangan atau bahagian.

“Akibatnya ideologi politik mereka telah terbawa-bawa ke pejabat, sekolah dan masyarakat. Tindakan mereka berkempen untuk parti pembangkang dengan memburuk-burukkan Kerajaan Persekutuan tidak sepatutnya berlaku”, katanya yang enggan namanya disiarkan.

Beliau mengulas laporan sebuah portal berita yang mendakwa seorang calon yang bertanding di Kuala Penyu menegur seorang pegawai persekutuan di hadapan Menteri.

Insiden itu berlaku semasa majlis Sembang Santai Menteri Kanan Pendidikan, Senator Dr. Mohd Radzi Md.Jinin bersama bekas guru-guru di daerah Kuala Penyu.

Calon itu dikatakan kecewa dengan sikap pegawai itu yang didakwanya mengkritik dan memburuk-burukkan Kerajaan Persekutuan.

Pesara itu berpendapat, tidak salah bagi calon itu memaklumkan kepada Menteri jika ternyata benar pegawai kanan itu menyokong parti pembangkang dan memburuk-burukkan Kerajaan Persekutuan.

Beliau yang pernah menyandang jawatan Timbalan Pengarah sebuah jabatan persekutuan berkata, penjawat awam persekutuan berkhidmat untuk kerajaan demi rakyat.

“Apa juga ideologi politik penjawat awam itu, jangan terlalu menyerlahkan watak pembenci dan anti Kerajaan Persekutuan.

“Kita faham itu hak masing-masing, namun perlu diingat setiap tindak tanduk pegawai kanan kerajaan itu diperhatikan oleh masyarakat dan mereka bukan buta.

“Sekiranya pegawai berkenaan mahu berpolitik, dia patut letak jawatan dan gunakan kapasiti parti untuk bercakap atau bertanding dalam pilihan raya jika mereka tidak senang hati dengan Kerajaan Persekutuan”, tegasnya.

Menurutnya, jika penjawat awam itu masih berkhidmat dengan jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan, maka dia tidak wajar berpolitik sehingga melanggar peraturan selaku penjawat awam.

*Katanya, juga agak kurang manis dipandang umum apabila pegawai kanan itu berasal dari sesebuah daerah, maka beliau menempatkan orang-orang dari daerah asalnya di jabatan berkenaan.*

“Sebagai contoh, jika pegawai itu berasal dari Beaufort maka hampir semua kakitangan yang ditempatkan di jabatan itu dari Beaufort. Ini pasti akan menyebabkan rungutan masyarakat setempat”, tegasnya.

Pesara itu turut memuji penyandang kerusi DUN Kuala Penyu, Datuk Limus Jury yang telah banyak membantu pelajar dan siswazah anak-anak jati daerah itu menerusi Yayasan Limus Jury.

“Calon Perikatan Nasional (PN) itu juga banyak membantu sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru sepanjang berkhidmat sebagai Wakil Rakyat Kuala Penyu.

“Sumbangan dan jasa beliau kepada masyarakat dan daerah Kuala Penyu tidak dapat dinafikan oleh mana-mana pihak kerana komitmennya mahu terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat daerah ini”, jelasnya.-pr/BNN

Limus (tiga dari kanan) menyampaikan bantuan dana pendidikan kepada anak jati Kuala Penyu.