KOTA KINABALU: Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 di Negeri Sabah pada hari ini adalah sebanyak 529 kes. Tiada kematian dicatatkan pada hari ini. Jumlah kumulatif kes COVID-19 di negeri ini sebanyak 15,048 kes.

Pada hari ini, seramai 3,393 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 654 orang di hospital dan 2,739 orang di PKRC. Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 71 orang manakala 16 orang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Jumlah penambahan kapasiti katil hari ini di Dewan Badminton Kompleks Sukan Keningau adalah sebanyak 20 buah menjadikan jumlah keseluruhan katil Hospital COVID-19 dan PKRC adalah sebanyak 7,912 katil. Penggunaan katil keseluruhan sehingga hari ini adalah 42.88%.

Jumlah kes Kluster Rumah Merah naik berganda sebanyak 111 kes pada hari ini berpunca dari saringan yang telah dilaksanakan ke atas dua (2) blok pusat tahanan sementara (PTS) Menggatal. Bilangan kes dijangka akan terus meningkat untuk tempoh beberapa hari lagi. Ini disebabkan PTS berkenaan mempunyai 10 blok dengan jumlah keseluruhan 1,706 orang tahanan.

BANTUAN SUMBER MANUSIA DAN LOGISTIK KEMENTERIAKESIHATAN MALAYSIA

Sebagai usaha murni Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam membantu Negeri Sabah membendung wabak COVID-19, seramai 128 orang jururawat kontrak telah melapor diri ke Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan sedang giat menjalani latihan sebelum mula bertugas.

Manakala, sembilan (9) orang pegawai perubatan dari Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan Terengganu juga telah tiba di Sabah pada hari ini.

Berkat usaha dan kelulusan peruntukan daripada KKM, Dewan Bedah Hospital Semporna telah dibuka semula bermula 30 Oktober 2020 dan telah melakukan pembedahan Lower Segment Caesarean Section and Bilateral Tubal Ligation oleh Pakar Perubatan Obstetrik dan Ginekologi dari Hospital Tawau.

Dua (2) buah kenderaan baharu juga telah ditempatkan di Hospital Semporna bagi meningkatkan kekuatan logistik dalam menangani wabak COVID-19.

BANTUAN BAKUL MAKANAN (FOOD BASKET)

Pengagihan bantuan bakul makanan (food basket) kepada golongan sasar berjalan lancar. Sehingga hari ini, sebanyak 111,442 bakul makanan telah diagihkan.

LAPORAN PEMANTAUAN PUSAT HIBURAN, SEKATAN JALAN RAYA (SJR), PENGUATKUASAAN PERAIRAN SABAH, SANITASI DAN HEBAHAN UMUM INFO ON WHEELS

Pada hari ini, seramai 13 orang pengunjung pusat hiburan dan seorang (1) pemilik premis di pusat bandaraya telah dikompuan kerana beroperasi semasa PKPB.

Sebanyak 64 SJR telah dilaksanakan di 64 lokasi melibatkan pemeriksaan 35,712 kenderaan. Manakala, 139 buah kenderaan diarah berpatah balik dengan 27 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar SOP COVID-19. PDRM telah melaksanakan 89 hebahan melalui kereta peronda. Kadar pematuhan penduduk terhadap SOP PKPB ialah 96.5%.

Penguatkuasaan undang-undang di perairan laut Sabah oleh Pasukan Polis Marin yang melibatkan kawasan Pantai Timur adalah sebanyak 65 pemeriksaan dan perairan Kota Kinabalu dan Labuan sebanyak 17 pemeriksaan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah telah melaksanakan sanitasi di lapan (8) premis di tiga (3) buah daerah iaitu Semporna, Tawau dan Tuaran.

Hebahan umum Info On Wheels Jabatan Penerangan Sabah mengenai pematuhan SOP dan pembudayaan norma baharu telah dilaksanakan di 77 lokasi di tujuh (7) buah daerah.
Kerajaan Negeri komited untuk memberi yang terbaik kepada rakyat dari segi penyampaian perkhidmatan, saluran bantuan kepada yang memerlukan dan sumber informasi yang tepat.

#kitajagakita #stayhome #staysafe

#workfromhome
#normabaharu

Sekian.

YB MENTERI KERAJAAN TEMPATAN DAN PERUMAHAN DAN MENTERI KEWANGAN II