KOTA KINABALU: Isu pertambahan kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak menimbulkan persoalan sama ada Kerajaan Persekutuan benar-benar komited kepada perwakilan satu pertiga atau sekadar mahu menambah beberapa kerusi.

Mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Salleh Said Keruak, berkata kedua-duanya berbeza kerana pertambahan kerusi tidak semestinya mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak jika kerusi di Semenanjung turut ditambah sehingga nisbah keseluruhan tidak banyak berubah.

“Jadi, isu sebenar bukan berapa banyak kerusi yang ditambah, tetapi berapa peratus daripada keseluruhan kerusi Parlimen yang akhirnya akan dipegang oleh Sabah dan Sarawak,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut Salleh, ketika Malaysia dibentuk pada 1963, Malaya, Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura terlibat dalam proses pembentukan Persekutuan baharu, dengan Sabah, Sarawak dan Singapura ketika itu secara bersama mempunyai kira-kira satu pertiga kerusi Parlimen.

Katanya, pemisahan Singapura pada 1965 mengubah susunan tersebut dan hari ini terdapat pelbagai tafsiran tentang bagaimana prinsip asal satu pertiga itu harus diterapkan.

“Namun persoalan asas masih relevan: adakah semangat dan keseimbangan pembentukan Malaysia harus terus tercermin dalam perwakilan Parlimen Sabah dan Sarawak?” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan perlu memperjelaskan sama ada matlamatnya ialah perwakilan satu pertiga atau sekadar pertambahan kerusi.

“Bagi Sabah dan Sarawak, isu ini bukan sekadar mendapatkan lebih banyak kerusi. Ia mengenai sama ada kedudukan dan perwakilan mereka mencerminkan semangat serta persefahaman ketika Malaysia dibentuk,” katanya.-pr/BNN