KOTA KINABALU: Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 hari ini di Negeri Sabah adalah sebanyak 678 kes. Kes kematian adalah sebanyak 12 kes iaitu sembilan (9) di Kota Kinabalu, masing- masing satu (1) di Kudat, Tawau dan di Sandakan. Jumlah kumulatif kes

COVID-19 di negeri ini sebanyak 16,873 kes.

Pada hari ini, seramai 549 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital dan PKRC. Seramai 3,139 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 695 orang di hospital dan 2,444 orang di PKRC. Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 79 orang manakala 21 orang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Sebagaimana yang diramal sebelum ini, jumlah kes positif bagi kawasan Kota Kinabalu akan naik mendadak dalam beberapa hari kerana Kluster Pusat Tahanan Sementara, Menggatal. Hari ini, ia menjadi kenyataan apabila 229 dari 341 kes baharu di Kota Kinabalu datang daripada kluster ini iaitu 67.2%.

Sementara itu, kes positif bagi Kluster Penjara Kepayan juga bertambah 42 kes lagi pada hari ini.

Jumlah kapasiti katil keseluruhan di Hospital COVID-19 dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) ialah 8,241 katil. Bilangan katil di Hospital ialah 883 buah manakala di PKRC ialah 7,358 buah. Penggunaan katil keseluruhan pada hari ini adalah 38.08%.

PERUNTUKAN KHAS MAKMAL MOLEKULAR DAN TAMBAHAN KIT UJIAN RTK-ANTIGEN OLEH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA (KKM)

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa prihatin kepada setiap keperluan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dalam memerangi penularan wabak COVID-19. Bagi menampung kapasiti ujian yang tinggi di negeri ini, KKM telah menurunkan peruntukan bagi mewujudkan dua (2) Makmal Molekular tambahan iaitu di Hospital Daerah Tawau dan Hospital Daerah Lahad Datu. Kedua-dua makmal ini mampu menjalankan 200 ujian sehari dan dijangka mula beroperasi pada awal bulan Disember 2020.

Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) juga telah menerima tambahan kit ujian RTK-Antigen sebanyak 200,000 unit daripada KKM. Setakat ini, sebanyak 117,825 kit ujian telah pun diagihkan kepada hospital, Pejabat Kesihatan Kawasan serta Pejabat Kesihatan Daerah.

Pada masa yang sama, makmal ujian Polymerase chain reaction (PCR) COVID-19 sementara telah diwujudkan di Klinik Kesihatan Kubota, Tawau bagi menampung sebahagian ujian PCR di Daerah Tawau. Makmal ini dijangka boleh beroperasi sepenuhnya pada minggu hadapan

BANTUAN BAKUL MAKANAN (FOOD BASKET)
Pengagihan bantuan bakul makanan (food basket) kepada golongan sasar berjalan lancar. Sehingga hari ini, sebanyak 131,052 bakul makanan telah diagihkan.

LAPORAN SEKATAN JALAN RAYA (SJR), PENGUATKUASAAN PERAIRAN SABAH, SANITASI DAN HEBAHAN UMUM INFO ON WHEELS

Sebanyak 64 SJR telah dilaksanakan di 64 lokasi melibatkan pemeriksaan 49,426 kenderaan. Daripada jumlah tersebut, 264 buah kenderaan diarah berpatah balik manakala 32 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar SOP COVID-19. PDRM juga telah melaksanakan 85 hebahan melalui kereta peronda. Kadar pematuhan penduduk terhadap SOP PKPB ialah 96.5%.

Penguatkuasaan SOP turut dijalankan di perairan laut Sabah oleh Pasukan Polis Marin yang melibatkan 45 pemeriksaan di kawasan Pantai Timur dan 21 pemeriksaan di perairan Kota Kinabalu dan Labuan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah telah melaksanakan sanitasi di Daerah Semporna melibatkan tiga (3) premis.

Hebahan umum Info On Wheels Jabatan Penerangan Sabah mengenai pematuhan SOP, amalkan 3W, elakkan 3C dan pembudayaan norma baharu telah dilaksanakan di 88 lokasi di 12 buah daerah. Kerjasama padu daripada semua pihak amat penting dalam usaha untuk memutuskan rantaian COVID-19 dengan mematuhi SOP yang sedang berkuatkuasa dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian.

Masyarakat juga dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan dengan kadar segera sekiranya mempunyai kontak rapat dengan individu yang disahkan positif COVID-19.

Kerajaan Negeri amat komited untuk memberi yang terbaik kepada rakyat dari segi
penyampaian perkhidmatan, saluran bantuan kepada yang memerlukan dan sumber
informasi yang tepat.

#kitajagakita #stayhome #staysafe

#workfromhome
#normabaharu

Sekian.

YB MENTERI KERAJAAN TEMPATAN DAN PERUMAHAN DAN MENTERI KEWANGAN II
03 November 2020