BERSATU bahagian perlu giat tambah ahli, kukuhkan parti

0
765

KOTA KINABALU: Kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah di semua peringkat perlu menggiatkan usaha menambah ahli, kata Setiausaha Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Dr.Ronald Kiandee.

Katanya, aktiviti menambah ahli perlu sentiasa dijalankan di semua peringkat parti memandangkan sambutan yang sangat positif dan hangat oleh rakyat pribumi Sabah terhadap BERSATU.

“Kepimpinan BERSATU di peringkat bahagian, cawangan, sayap Srikandi dan Armada diingatkan agar tidak menyekat kemasukan ahli-ahli baharu.

“BERSATU Sabah perlu terus inclusif dan sedia memberi ruang dan peranan kepada ahli-ahli baharu, agar parti terus diperkukuhkan”, katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perjumpaan bersama Setiausaha-Setiausaha Bahagian BERSATU di pejabat BERSATU Sabah di Alamesra, semalam.

Majlis itu dihadiri oleh 25 Setiausaha Bahagian BERSATU Sabah. Turut hadir ialah Setiausaha Eksekutif BERSATU Sabah, Dato Armizan Mohd.Ali.

Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, proses perkukuhkan parti harus seiring dengan semangat setiakawan dengan rakan-rakan dalam gabungan parti-parti dalam kerajaan.

Katanya, walaupun BERSATU adalah parti yang terbaharu dalam gabungan Kerajaan Negeri, namun ia komited membantu perkukuhkan kerajaan.

Menyentuh tentang keluhan sesetengah Setiausaha Bahagian yang kecewa apabila ahli BERSATU tidak diberi peranan dalam struktur kepimpinan kampung ketika ini, Ronald yakin Ketua Menteri akan melihat perkara ini di masa akan datang.

“Pemimpin dan ahli-ahli BERSATU di Sabah perlu ingat bahawa BERSATU adalah salah sebuah parti dalam komponen Pakatan Harapan (PH) yang membentuk Kerajaan Malaysia”, tegasnya.

Ronald Kiandee berkata, BERSATU Sabah yang dilancarkan pada awal April 2019 sehingga kini mempunyai lebih 100 ribu ahli melalui 517 cawangan, setakat ini.

“Ahli-ahli BERSATU dari Sabah dijangka akan terlibat dalam proses pemilihan parti yang akan datang ini”, jelasnya.-pr/BNN

Ronald Kiandee (duduk, tengah) dan Armizan (duduk, tiga dari kanan) bergambar kenang-kenangan bersama Setiausaha-Setiausaha Bahagian BERSATU negeri Sabah.