PPDJS Zon KK anjur hiking daki Bukit Kopungit

0
193
Program Kembara Merdeka Hiking Bukit Kepungit.

KOTA KINABALU: Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDJS) Zon Kota Kinabalu akan menganjurkan Program Kembara Merdeka Hiking Bukit Kopungit, Kepayan sempena Hari Merdeka 2019 pada pagi 1 September 2019.

Logo PPDJS

Ketuanya, Encik Azuan bin Ruzfah berkata, program yang akan bermula jam 6.00 pagi itu terbuka kepada ahli-ahli PPDJS dan juga orang ramai khususnya masyarakat di sekitar Kota Kinabalu.

Beliau berkata, program itu yang bertemakan ”Kami Sedia Kami Setia” bagi memeriahkan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke 62 tahun ini.

Katanya tema itu dipilih berdasarkan kesesuaian matlamat dan objektif ekspedisi hiking yang berorientasikan pendakian bukit ke puncak.

“Peserta yang mengambil bahagian dalam aktiviti mendaki akan beramai-ramai mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah di puncak Bukit Kopungit sebagai simbolik penyemarakkan obor dan semangat kemerdekaan

“Disamping mengingati segala daya usaha dan jasa pejuang-pejuang terdahulu yang bermati-matian dan bertungkus-lumus memperjuangkan hak
memerdekakan Sabah dan Malaysia daripada penjajahan pihak luar”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azuan berkata, program itu diadakan agar sikap cinta akan kampung, negeri dan tanah air dapat disemai ke dalam sanubari setiap peserta program.

Katanya, program ini berpaksikan prinsip kebersamaan di antara NGO dan masyarakat setempat dengan matlamat untuk membina kesefahaman utuh selain mengeratkan hubungan silaturrahim sesama kalangan ahli-ahli PPDJS Zon Kota Kinabalu bersama masyarakat.

Menurutnya, bagi menyedarkan masyarakat tentang bahaya dadah, ahli-ahli PPDJS KK akan mengedarkan risalah kepada orang ramai semasa aktiviti mendaki ke puncak.

Katanya, Bukit Kopungit dipilih kerana lokasinya tidak jauh dari pusat bandar, selain terkenal dikalangan pendaki.

Beliau berkata, PPDJS Zon Kota Kinabalu juga bersedia terlibat dalam membantu agensi-agensi kerajaan sedia ada dalam menangani masalah penyalahgunaan dadah dan juga jenayah.

“Masalah dadah dan jenayah adalah masalah masyarakat. Ahli-ahli PPDJS Zon Kota Kinabalu komited membantu dan menyumbang tenaga bagi membantu mengurangkan masalah sosial terutama dadah dan jenayah”, tegas Azuan.-pr/BNN