KOTA KINABALU: Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 248 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 30,786 kes. Dua (2) kes kematian dicatatkan iaitu masing-masing satu (1) di Daerah Kota Kinabalu dan Semporna. Takziah kepada semua keluarga yang terlibat.
Pada hari ini, seramai 299 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 27,801 orang. Sejumlah 1,990 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 627 orang di hospital dan 1,363 orang di PKRC. Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 70 orang dan 27 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated). Tiada kluster baharu dicatatkan.
Daripada 248 kes positif COVID-19 hari ini, sebanyak 126 kes (50.81%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat di 14 daerah, 61 kes (24.60%) daripada saringan kluster sedia ada, saringan bergejala 36 kes (14.52%), saringan komuniti tujuh (7) kes (2.8%) dan 18 kes (7.26%) adalah dari lain-lain kategori.
Jumlah kapasiti katil di Hospital COVID-19 adalah sebanyak 1,029 unit. Sementara, di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) adalah 5,777 unit menjadikan jumlah keseluruhan 6,806 unit. Peratus penggunaan katil pada hari ini adalah 29.24%.
Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kg. Sabah Baru, Lahad Datu bermula 10 November 2020 yang kemudiannya dilanjutkan lagi dan dijadualkan tamat pada hari ini, 7 Disember 2020.
Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 2,054 ujian saringan dan sebanyak 382 kes kumulatif positif COVID-19 telah direkodkan di lokaliti ini. KKM turut mengesahkan kesemua sampel saringan telahpun diperolehi dan tiada sampel yang masih menunggu keputusan. Atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Kg. Sabah
Baru, Lahad Datu pada 7 Disember 2020 seperti yang dijadualkan.
Aktiviti Sukan golf DIBENARKAN mengikut SOP yang ditetapkan iaitu semua operator (pengendali) harus memastikan hanya seorang pemain dibenarkan duduk dalam satu (1) buggy sepanjang permainan dan penggunaan partisan atau pembahagi plastik adalah dilarang sama sekali.
Sehingga hari ini, sebanyak 282,374 bakul makanan telah diagihkan kepada
golongan sasar.
Sebanyak 64 SJR telah dilaksana melibatkan pemeriksaan 40,977 kenderaan.
Daripada jumlah tersebut, 109 buah kenderaan diarah berpatah balik. Tiada tangkapan namun 2 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar SOP COVID-19. PDRM juga telah melaksanakan 74 hebahan melalui kereta peronda.
Penguatkuasaan SOP turut dijalankan di perairan laut Sabah oleh Pasukan Polis Marin yang melibatkan 51 pemeriksaan di kawasan Pantai Timur dan 9 pemeriksaan di perairan Kota Kinabalu dan Labuan. Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah telah melaksanakan satu (1) sanitasi di Daerah Tawau.
Hebahan umum Info On Wheels Jabatan Penerangan Sabah mengenai pematuhan SOP, amalkan 3W, elakkan 3C dan pembudayaan norma baharu telah dilaksanakan di 101 lokasi di 18 daerah. Hebahan dibuat dalam tiga (3) bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Dusun dan Bahasa Bajau.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri mempunyai 239 buah kenderaan yang sedia digunakan bagi tujuan bantuan logistik COVID-19. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 32 buah kenderaan digunakan untuk mengangkut pesakit COVID-19, manakala 28 buah kenderaan digunakan untuk menghantar bakul makanan ke lokasi sasaran. Baki 179 kenderaan pelbagai jenis bersedia digerakkan jika perlu.
Masyarakat dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan dengan kadar segera sekiranya mempunyai kontak rapat dengan individu yang disahkan positif COVID-19. Bersama-sama kita putuskan rantaian COVID-19 dengan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian demi kesejahteraan diri, keluarga serta masyarakat.-
#kitajagakita #stayhome #staysafe #normabaharu
YB MENTERI KERAJAAN TEMPATAN DAN PERUMAHAN DAN MENTERI KEWANGAN II
7 Disember 2020