KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Raime Unggi memberitahu bahawa sektor pertanian adalah teras pembangunan bagi kawasan luar bandar dan mampu membawa nafas baharu kepada golongan peladang serta pekebun kecil khasnya untuk terus maju dan bergerak seiring dengan arus pembangunan dan modenisasi.
Katanya, warga desa dan penduduk di kawasan pedalaman tidak wajar untuk terus terpinggir dari arus perkembangan semasa dan mereka juga perlu untuk meningkatkan status ekonomi diri dan keluarga melalui sektor pertanian.
“Dengan peruntukan sebanyak RM560.39 juta, sepertimana yang dinyatakan dalam Belanjawan Negeri Sabah 2021, sudah pasti sektor pertanian mampu dibangunkan dan status petani serta warga desa dapat ditingkatkan.
“Inilah masanya, semua rakyat kita di desa untuk mengubah corak hidup dan meningkatkan pendapatan perkapita dengan pertanian moden yang pasti akan menyumbang kepada peningkatan kualiti hasil secara komersial, meliputi tanaman seperti getah, kelapa sawit, padi, buah-buahan, sayur-sayuran dan juga ternakan serta perikanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahas Belanjawan Negeri Sabah 2021 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) disini pada Isnin.
Menurut Raime, komodoti getah berpotensi untuk dimajukan bagi pasaran dalam dan luar negeri.
“Ini terbukti kerana komoditi ini berupaya menghasilkan eksport getah bagi Sabah sebanyak 23,538 tan dengan nilai RM 123.42 juta kepada KDNK sehingga bulan Ogos 2020 dan Tenom telah menjadi komoditi kedua terbesar selepas padi, dengan keluasan 12, 690 hektar yang terdiri daripada dua Skim Penempatan Getah iaitu di Lagud Seberang dan Kuala Tomani.
“Selain itu, pembangunan tanaman padi secara komersial juga adalah antara aspek penting yang perlu difokuskan untuk jaminan keselamatan makanan dan untuk memastikan makanan asas mencukupi khususnya rakyat di negeri ini yang mana ia adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran beras kepada 60 peratus kerana kita masih tidak mampu menampung keperluan industri padi dengan hasil pengeluaran sebanyak 69,890 tan dan tahap kecukupan beras sebanyak 24.6 peratus pada tahun 2017 (Sumber: Kementerian Pertanian & Industri Makanan Sabah),” katanya.
Jelas Raime lagi, Sabah sebagai sebuah negeri yang kaya dengan sumber alam dan keadaan geografi yang subur untuk tanaman buah-buahan wajar untuk dimanfaatkan kerana pembangunan industri itu mampu untuk dipergiatkan sehingga ke pasaran antarabangsa.
“Pisang, nanas, langsat, duku, longan, rambutan, jambu, cempedak, nangka, tarap dan banyak lagi buah-buahan tempatan boleh dipasarkan sehingga ke peringkat antarabangsa kerana kita mempunyai kemampuan untuk meningkatkan kecekapan dalam produktiviti yang berkualiti sepanjang tahun dengan penggunaan teknologi moden dan pengendalian selepas tuai yang effisien.
“Namun kini, pelbagai cabaran terpaksa dihadapi ditambah lagi dengan pandemik Covid-19 yang melanda dunia dan membawa kepada kemerosotan dalam permintaan komoditi ini, lantas memberi tekanan dan memaksa rakyat khususnya golongan be pendapatan rendah termasuk golongan petani kita.
“Oleh kerana itu, penglibatan pihak kerajaan dan agensi berkaitan dalam usaha untuk membantu golongan ini perlu demi memastikan hasil pertanian mampu dipasarkan dengan harga yang berpatutan tanpa menindas golongan petani dan keuntungan dikaut oleh sebelah pihak seperti orang tengah,” katanya.
Dalam pada itu, Raime juga menegaskan bahawa amalan pertanian traditional yang masih diamalkan oleh petani lama juga turut menjadi kekangan kepada pertambahan hasil pengeluaran.
Katanya, kerajaan dan agensi berkaitan boleh mengambil langkah baharu dalam membangunkan sektor pertanian.
“Jika sosio-ekonomi petani dan pekebun kecil dapat memberi kan impak besar khasnya dalam pendapatan yang dijana, pasti ini juga mampu menarik perhatian graduan-graduan lepasan universiti untuk turut serta dalam bidang pertanian.
“Ini sekaligus membantu mereka untuk menjana pendapatan sementara mereka mendapat pekerjaan lain dan mungkin mereka tidak perlu bergantung kepada sektor pekerjaan yang semakin terhad pada masa kini.
“Kesannya, kita boleh mengurangkan kadar pengangguran, membaiki taraf hidup golongan muda dan membasmi masalah kemiskinan,” ujar beliau lagi.-pr/BNN