KOTA KINABALU:Belanjawan yang dibentang dan diluluskan di Dewan Undangan Negeri Sabah pada 18 Disember lalu dilihat mampu memulih dan melonjakkan semula kemajuan dan pembangunan negeri.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat bagi Dewan Undangan Negeri Segama, Mizma Appehdullah berkata, keadaan ekonomi semasa yang terjejas akibat pandemik Covid-19 memerlukan satu pelan tindakan berani dan menyeluruh.
Menurut beliau, apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri dilihat sebagai satu usaha bersungguh-sungguh bagi memulihkan semula keadaan ekonomi serta menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat.
“Saya melihat perbelanjaan negeri yang dirangka dalam belanjawan kali ini lebih menyeluruh dan lebih berdaya maju seiring dengan pelan jana semula negeri dalam Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (Pelan SMJ) seperti yang diumumkan oleh Ketua Menteri.
“Keberanian dan keyakinan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah yang ditunjangi Perikatan Nasional diyakini akan menjana semula ekonomi semula negeri pada tahun hadapan,” katanya.
Beliau mengulas persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah pada 18 Disember lalu telah meluluskan belanjawan negeri yang dibentang Ketua Menteri, Datuk Haji Hajiji Haji Noor.
Mizma berkata, dengan sokongan penuh kerajaan Pusat di bawah kerajaan yang sama dengan kerajaan negeri menjadikan belanjawan Sabah pada kali ini sebagai sebuah belanjawan yang kukuh meliputi aspek pembangunan ekonomi, pembangunan infrastruktur rakyat dan juga sosial secara keseluruhannya.
“Kerajaan negeri dalam pembentangan menganggarkan hasil kerajaan Sabah pada tahun hadapan berjumlah RM4,481 juta, manakala anggaran perbelanjaan pula sebanyak RM4,302 juta.
“Terdapat lebihan belanjawan berjumlah RM178.70 juta dalam rangka belanjawan negeri kali ini yang membolehkan kerajaan negeri merancang, membina dan membangun negeri.
“Kedudukan ini menjamin dan memastikan ekonomi negeri sentiasa stabil dengan adanya belanjawan lebihan atau disebut Surplus Budget,” tambah beliau.
Katanya, setiap rakyat perlu memberikan sokongan padu kepada kepimpinan kerajaan negeri agar setiap perancangan dan peruntukan yang disediakan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan menepati golongan sasar.
Ujar beliau, ia sejajar dengan ungkapan “Sabah Bukan Kita Punya, Tetapi Rakyat Yang Punya” oleh Ketua Menteri ketika menegaskan bahawa kepentingan rakyat akan menjadi keutamaan kerajaan negeri hari ini.
“Semoga kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 akan kembali pulih dan kebajikan mereka terpelihara,” katanya.-pr/BNN