KOTA KINABALU: Masyarakat ramai diminta untuk terus menjadi mata dan telinga dalam membendung isu penyalahgunaan dadah di negeri ini.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir Shahelmey Yahya berkata, rakyat perlu bersama kerajaan dalam memastikan bahawa agenda membasmi isu tersebut daripada terus berleluasa.
“Ia memberi makna yang cukup besar tentang peranan dan tanggungjawab yang perlu dipikul secara bersama bagi memastikan komuniti tempat tinggal kita selamat dan bebas daripada permasalahan dadah”.
“Masyarakat tidak seharusnya meletakkan tanggungjawab memerangi penyalahgunaan dadah hanya di bahu kerajaan semata-mata.
” Ini kerana pencegahan awal perlu dimulakan di peringkat masyarakat setempat untuk menggerakkan aktiviti kemasyarakatan yang berupaya menghindari berlakunya masalah dadah, sosial, dan jenayah dalam masyarakat” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi PEMADAM Negeri Sabah, Ir. Shahelmey Yahya berkata demikian ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan (HADK) 2021 Peringkat Negeri Sabah yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri II merangkap Yang DiPertua Pemadam Negeri Sabah, Jonathan Yasin.
Shahelmey turut mengingatkan badan bukan kerajaan NGO agar terus memberi kerjasama dalam menangani masalah ini.
“AADK Negeri Sabah memerlukan Kolaborasi kuat antara jabatan, agensi serta badan bukan kerajaan (NGO) supaya sasaran dapat dicapai”.
“Usaha menangani penyalahgunaan dadah ini tidak boleh diambil berasingan sebaliknya, perlu dilakukan secara bersama kerana ia bukan saja membabitkan soal dadah tetapi juga masalah sosial lain”.
“Sekali lagi saya menegaskan dadah masih musuh nombor satu negara, maka saya menyeru kepada semua agar memberikan kerjasama dan komitmen sepenuhnya bagi memerangi dadah habis-habisan” katanya.
Sambutan HADK yang bertemakan “Lebih Baik Cegah” tersebut dilakukan secara maya melalui aplikasi Google Meet dan Facebook Live AADK Sabah di Pajabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sabah.
Turut hadir dalam Majlis tersebut ialah Pengarah AADK Negeri Sabah; Abdul Hamediee Ibrahim.-pr/BNN